Sambutan Aidilfitri Semarakkan Perpaduan Komuniti – Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR, 5 April – Majlis Sambutan Aidilfitri bukan sahaja menjadi ruang untuk mengeratkan silaturahim sesama penduduk, malah turut menyemarakkan semangat perpaduan, kejiranan dan kebersamaan dalam komuniti.
Timbalan Presiden UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Rembau, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata suasana yang penuh harmoni dapat dilihat menerusi sambutan berkenaan yang sekaligus menggambarkan perpaduan utuh antara penduduk setempat.
Menurut beliau, penganjuran majlis seperti ini amat signifikan dalam memperkukuh hubungan masyarakat khususnya dalam kalangan komuniti perumahan yang semakin berkembang.
“Petang semalam menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Persatuan Penduduk Residensi PR1MA Bandar Ekar Rantau, yang baru dapat didiami oleh pemilik setelah banyak tahun terbengkalai sejak 2018 lagi.
“Tahniah kepada Encik Ahmad Zulkarnain Zukiffli Onni, Pengerusi Persatuan Penduduk Residensi PR1MA Bandar Ekar dan Dr. Ahmad Azlan Raihan, Pengerusi Surau Ar-Raudhah serta semua ahli jawatankuasa yang terlibat dalam menjayakan majlis yang berlangsung dengan begitu meriah dan penuh harmoni.
“Majlis ini menjadi ruang untuk mengeratkan silaturahim sesama penduduk, serta turut menyemarakkan semangat perpaduan, kejiranan dan kebersamaan dalam komuniti,” katanya menerusi perkongsian di Facebook.
Dalam masa yang sama, beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau turut menzahirkan rasa syukur apabila projek perumahan tersebut akhirnya dapat didiami, sekali gus memberi sinar baharu kepada para pemilik yang sekian lama menantikan kediaman mereka.
Tambahnya lagi, usaha dan komitmen pelbagai pihak dalam memastikan kesejahteraan komuniti harus terus diperkasa agar nilai kebersamaan dapat dipelihara demi keharmonian masyarakat setempat.- UMNO Online
