Krisis Tenaga Global Perlu Ditangani Segera… Ahmad Zahid Tegaskan Komitmen Kerajaan

BAGAN DATUK, 6 April – Kerajaan mengambil pendekatan serius dan memberi keutamaan tinggi dalam usaha menangani krisis tenaga global untuk memastikan kesannya tidak terus membebankan rakyat, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Presiden UMNO merangkap Ahli Parlimen Bagan Datuk memaklumkan bahawa Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) memainkan peranan penting melalui mesyuarat mingguan untuk merangka langkah terbaik dalam menghadapi cabaran tersebut.

Menurutnya, kerajaan turut mendapatkan pandangan daripada pemain industri mengikut sektor supaya setiap keputusan yang dibuat lebih menyeluruh dan praktikal.

“MTEN bermesyuarat setiap minggu dan memanggil peneraju industri untuk berkongsi pandangan serta taklimat. Semua input ini akan diambil kira dalam merangka langkah penyelesaian oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026 Parlimen Bagan Datuk yang berlangsung di Dewan Dato’ Lope Hashim, di sini, pada Sabtu.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, selain mesyuarat berkala, kerajaan turut mengadakan sesi taklimat harian untuk memastikan maklumat terkini dapat disampaikan kepada rakyat secara tepat dan berterusan.

Dalam masa sama, beliau menyeru semua pihak agar tidak saling menuding jari, sebaliknya bersama-sama menghadapi krisis tersebut dengan kesiapsiagaan tinggi.

“Kita tidak boleh berada dalam zon selesa kerana ini merupakan krisis sebenar yang memerlukan tindakan secara kolektif,” katanya lagi.

Turut hadir ke majlis tersebut ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Selain itu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki; Ketua Puteri UMNO, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi; Naib Presiden MIC, Tan Sri M Ramasamy serta beberapa pemimpin lain turut memeriahkan majlis tersebut.

Terdahulu, sambutan Aidilfitri berkenaan menerima kehadiran kira-kira 14,000 pengunjung yang mula membanjiri lokasi seawal jam 6.30 petang. – UMNO Online

Oleh: Nuralyaa Izzati Azman

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO