UMNO Perkukuh Akar Umbi, Pemuda Digesa Terus Ke Hadapan – Akmal Zharif

KUALA LUMPUR, 6 April – Persidangan UMNO cawangan yang berlangsung di seluruh negara terus menjadi medan penting dalam memperkukuh perpaduan parti, sekali gus memperkemas gerak kerja serta merangka strategi bagi memastikan perjuangan UMNO kekal relevan dan diyakini rakyat.

Ketua Pemuda UMNO Tambun, Akmal Zharif Ahmad Kamal berkata, persidangan ini membawa signifikan besar khususnya dalam menyatukan ahli di peringkat akar umbi serta memperkukuh kekuatan parti dari asasnya.

Menurut beliau, kepada barisan Pemuda, mereka perlu terus memainkan peranan sebagai tulang belakang parti dengan berani ke hadapan, membawa suara akar umbi dan menjadi penggerak utama dalam memperkukuh UMNO di peringkat cawangan.

“Persidangan ini merupakan medan penting dalam memperkukuh perpaduan, memperkemas gerak kerja serta merangka strategi bagi memastikan perjuangan parti terus relevan dan diyakini rakyat,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan parti bergantung kepada keutuhan jentera di peringkat akar umbi, justeru setiap ahli perlu mengambil peluang dalam persidangan ini untuk memperbaiki kelemahan serta memperkukuh kesepaduan.

Dalam masa yang sama, beliau menyeru agar Pemuda UMNO terus komited dalam mendepani cabaran politik semasa dengan pendekatan yang lebih dinamik dan dekat dengan rakyat, selari dengan peranan mereka sebagai barisan hadapan parti.

Tambahnya lagi, semangat kebersamaan, disiplin serta kesetiaan perlu terus diperkukuh agar UMNO kekal sebagai parti yang diyakini dan menjadi pilihan rakyat.

Sehubungan itu, beliau berharap agar setiap persidangan berjalan lancar serta mencapai segala matlamat yang dihasratkan.

“Selamat Bersidang dan teruskan perjuangan kepada seluruh ahli-ahli UMNO cawangan di seluruh negara khususnya di Bahagian Tambun, dengan harapan segala perancangan yang dirangka dapat dilaksanakan dengan jayanya demi masa depan parti yang lebih kukuh,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO