Ahmad Jazlan Seru Akar Umbi Perkukuh Kesatuan Hadapi Cabaran Semasa

KUALA LUMPUR, 3 April – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub menyeru akar umbi parti negeri agar memanfaatkan persidangan cawangan sebagai medan memperkukuh kesatuan dan iltizam dalam menghadapi cabaran semasa.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Machang berkata ini kerana mesyuarat tersebut bukan sekadar rutin tahunan, sebaliknya platform penting untuk memperkasa gerak kerja parti di peringkat akar umbi.

“Sidang kali ini bukan sekadar rutin tahunan tetapi medan untuk kita memperkukuh iltizam,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook.

Ahmad Jazlan turut berharap seluruh ahli fokus dalam memperkukuh parti, seiring keperluan menghadapi cabaran semasa yang semakin mencabar

Menurut beliau, kepercayaan dan semangat yang utuh dalam kalangan ahli menjadi asas penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti.

“Kita perlukan kerja yang luar biasa untuk menghadapi cabaran zaman.

“Jangan ada ragu dalam hati, kerana dengan keyakinan diri yang tinggi, UMNO akan kembali berjaya menambat hati rakyat.

“Kekuatan kita bukan pada jawatan, tetapi pada kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada perjuangan agama, bangsa dan watan,” ujar beliau.

Untuk rekod, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memaklumkan Persidangan Tahunan Cawangan-cawangan diadakan bermula 1 April hingga 17 Mei 2026 manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 1 Jun hingga 12 Julai 2026.

Manakala Perhimpunan Agung UMNO pula akan diadakan pada 12 Ogos sehingga 16 Ogos 2026. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO