Persidangan Cawangan Suntik Semangat Baharu Perjuangan Parti – Najib
KUALA LUMPUR, 3 April – Persidangan UMNO cawangan seluruh negara yang bermula Rabu lalu merupakan medan terbaik ahli-ahli di peringkat akar umbi untuk sama-sama membantu memperkukuhkan lagi parti.
Timbalan Ketua UMNO Sri Gading, Datuk Najib Samuri berkata platform berkenaan mampu mengangkat suara serta pendangan mereka untuk dibawa ke peringkat seterusnya demi kelangsungan perjuangan UMNO.
“Selamat bersidang kepada UMNO cawangan-cawangan seluruh negara khususnya di Bahagian Sri Gading. Semoga persidangan kali ini berjalan dengan lancar, penuh semangat kekeluargaan serta menjadi platform terbaik untuk memperkukuh kekuatan cawangan-cawangan demi kestabilan dan kesejahteraan agama, bangsa dan tanah air.
“Platform persidangan ini bukan sekadar memenuhi tuntutan perlembagaan parti, malah menjadi ruang penting untuk ahli-ahli di peringkat cawangan menyuarakan pandangan, cadangan serta denyut nadi sebenar rakyat,” katanya kepada UMNO-Online.
Menurut beliau lagi, suara akar umbi merupakan tunjang kekuatan UMNO yang selama ini menjadi asas kepada setiap keputusan dan hala tuju parti.
“Persidangan cawangan adalah medan terbaik untuk kita mendengar secara langsung pandangan ahli di bawah. Di sinilah lahirnya idea, teguran dan cadangan yang jujur, yang kemudiannya akan diangkat ke peringkat bahagian, negeri dan seterusnya ke pusat.
“Inilah kekuatan UMNO yang membezakan kita dengan lain. kita mendengar suara akar umbi dan menjadikannya asas dalam memperkukuhkan perjuangan parti,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa dalam landskap politik semasa yang semakin mencabar, kesatuan dan kesepaduan di semua peringkat amat penting bagi memastikan UMNO terus relevan dan diyakini rakyat.
“Semangat kekeluargaan, disiplin dan kesetiaan kepada parti perlu terus diperkasakan. Apa jua perbezaan pandangan hendaklah diraikan dengan matang demi memastikan kekuatan UMNO terus utuh,” ujarnya. – UMNO Online
