Suara Akar Umbi Pemangkin Kebangkitan Semula UMNO – Jafry
KUALA LUMPUR, 2 April – Suara akar umbi disifatkan sebagai pemangkin utama kepada kebangkitan semula UMNO, khususnya dalam mendepani landskap politik semasa yang semakin mencabar dan dinamik.
Ketua UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, persidangan UMNO cawangan yang sedang berlangsung ketika ini merupakan platform terbaik untuk memperkasa peranan ahli di peringkat paling asas dalam menentukan hala tuju parti.
Menurut beliau, kekuatan sebenar UMNO terletak pada kesatuan dan keikhlasan ahli akar umbi yang menjadi tunjang kepada setiap gerak kerja parti sejak penubuhannya.
“Suara akar umbi bukan sekadar pelengkap dalam struktur parti, sebaliknya ia adalah nadi yang menggerakkan perjuangan UMNO. Apa yang dibincangkan di peringkat cawangan inilah yang akan membentuk dasar serta tindakan di peringkat lebih tinggi.
“Justeru, persidangan ini perlu dimanfaatkan sebaiknya oleh semua ahli untuk menyuarakan pandangan secara terbuka, sekali gus memperkukuh organisasi serta merapatkan saf dalam kalangan ahli,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa dalam usaha mengembalikan kekuatan dan keyakinan rakyat terhadap UMNO, setiap ahli perlu memainkan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan komitmen.
Tambahnya, semangat kekeluargaan, disiplin serta kesetiaan kepada parti perlu terus diperkasakan agar UMNO kekal sebagai wadah perjuangan yang relevan dan diyakini.
“Dalam suasana politik hari ini, kita tidak boleh berpecah. Sebaliknya, kita perlu bersatu hati, memperkemaskan gerak kerja dan terus mendekati rakyat dengan pendekatan yang lebih berkesan.
“Apabila akar umbi kuat dan bersatu, maka parti akan kembali bangkit dengan lebih kukuh,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berharap agar persidangan kali ini berlangsung dengan lancar dalam suasana harmoni serta menjadi titik tolak kepada pembaharuan semangat perjuangan dalam kalangan ahli.
“Saya berharap persidangan kali ini berlangsung lancar, penuh semangat perjuangan serta memperkukuhkan lagi kestabilan demi agama, bangsa dan tanah air. Marilah kita sama-sama meneruskan perjuangan serta terus berpegang kepada prinsip perjuangan parti dengan semangat “Bersatu, Bersetia, Berkhidmat” demi memastikan UMNO terus kekal sebagai wadah utama membela nasib rakyat,” tambahnya. – UMNO Online
