Persidangan Cawangan UMNO Perkukuh Jentera Hadapi PRU16, Mohd Rafi Seru Penyatuan

LABUAN, 2 April — Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan menyeru seluruh ahli parti agar memperkukuhkan perpaduan dan memperkemas gerak kerja menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), yang disifatkan sebagai medan penting kebangkitan parti.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan bersempena persidangan cawangan UMNO yang berlangsung dari 1 April hingga 17 Mei 2026 di seluruh negara, yang menurutnya bukan sekadar rutin tahunan tetapi ruang penting untuk memperkukuh saf perjuangan parti di semua peringkat.

“Bersatu, bangkit, menang dan bersedia untuk PRU16,” katanya, sambil menegaskan bahawa kekuatan UMNO bergantung kepada kesatuan dan kesungguhan jentera akar umbi dalam menghadapi cabaran politik semasa.

Menurut beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Labuan, persidangan tersebut menjadi platform strategik untuk menyusun semula gerak kerja parti serta memperkukuh iltizam dalam usaha mengembalikan kemenangan UMNO pada pilihan raya akan datang.

“Persidangan ini bukan sekadar rutin tahunan, tetapi medan memperkukuh saf perjuangan dan menyatukan kekuatan di semua peringkat. Inilah waktu untuk kita menyusun strategi, memperkemas gerak kerja dan mengangkat semula kekuatan UMNO sebagai wadah utama membela agama, bangsa dan negara,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, beliau meneruskan program ziarah dengan terbaharu menziarahi mangsa kebakaran sebuah kedai runcit di Kampung Lajau sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap keluarga yang terjejas dalam kejadian tersebut.

Beliau menyifatkan insiden itu sebagai ujian berat kepada mangsa yang kehilangan harta benda serta berdepan kesan emosi yang mendalam.

“Dalam saat sukar seperti ini, kehadiran kita bukan sekadar membawa bantuan, tetapi juga menyampaikan semangat, kekuatan dan harapan agar mereka tidak berasa keseorangan menghadapi ujian ini,” katanya.

Beliau turut menzahirkan harapan agar bantuan yang disalurkan dapat meringankan beban keluarga terbabit serta menyeru orang ramai untuk bersama-sama mendoakan kesejahteraan mereka.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar keluarga ini diberikan ketabahan, kekuatan serta dipermudahkan segala urusan dalam membina semula kehidupan,” tambahnya.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Ketua Kampung Lajau, Mohamad Mohamad Hj Jakop, Ketua Kampung Sungai Keling Goh Side Ling serta semua pihak yang terlibat dalam usaha membantu mangsa kebakaran tersebut. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO