Lenggong Telah Berkembang Sebagai Tapak Pendidikan Terbuka – Saarani

KUALA LUMPUR, 2 April – Lenggong telah berkembang sebagai tapak pendidikan terbuka yang menghubungkan dunia akademik dan warisan negara, kata Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Perak memaklumkan beliau telah hadir ke majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia bersama Badan Pengurusan Lenggong Geopark pada Rabu.

“Lenggong bukan lagi hanya sebagai tapak warisan. Hari ini, ia telah berkembang sebagai tapak pendidikan terbuka yang menghubungkan dunia akademik dan khazanah warisan negara.

“Malam tadi saya hadir ke Majlis Makan Malam Sempena Lawatan Akademik Lenggong UNESCO Global Geopark dan Tapak Warisan Dunia UNESCO serta pemeteraian MoU antara UTM dan Badan Pengurusan Lenggong Geopark.

“Kerjasama ini amat penting untuk memastikan warisan kita bukan sahaja dipelihara, malah dimanfaatkan sebagai sumber ilmu yang berguna. Para pelajar dan penyelidik sendiri dapat turun ke lapangan melihat sejarah, geologi dan biodiversiti yang membentuk tamadun manusia,” katanya.

Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan berkata, Lenggong mempunyai potensi besar untuk dimajukan sebagai destinasi pelancongan berasaskan pengalaman.

“Daripada inap desa, makanan tradisi hinggalah aktiviti alam semula jadi. Semuanya mampu membawa nilai kepada para pengunjung dan komuniti setempat. Syabas dan tahniah kepada semua pihak yang telah menjayakan kerjasama ini.

“Mudah-mudahan dari bumi Lenggong ini akan lahir lebih ramai sarjana, penyelidik dan generasi muda yang faham akan sejarah manusia. Di samping itu, mampu mencorak masa depan tamadun yang lebih lestari,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO