Jadikan Persidangan Cawangan UMNO Medan Penting Perkukuhkan Perjuangan – Kalsom Noordin
KUALA LUMPUR, 7 April – Ketua Wanita UMNO Negeri Melaka, Datuk Kalsom Noordin atau lebih dikenali sebagai ‘Kak Som’ menyeru seluruh perwakilan Wanita, Puteri, Pemuda serta cawangan-cawangan UMNO di seluruh negara agar menjadikan persidangan di peringkat akar umbi sebagai medan penting untuk memperkukuh perjuangan parti.
Jelasnya, persidangan tersebut bukan sekadar rutin tahunan, sebaliknya perlu dimanfaatkan sebagai platform percambahan idea, pengukuhan jentera serta penyatuan ahli demi memastikan UMNO terus kukuh dan relevan.
“Saya ingin mengucapkan selamat bersidang kepada para perwakilan Wanita, Puteri, Pemuda dan cawangan-cawangan seluruh negara terutama di Negeri Melaka.
“Jadikanlah medan persidangan di peringkat akar umbi ini sebagai sebuah medan percambahan idea, pengukuhan jentera dan penyatuan bangsa,” katanya bersempena persidangan UMNO peringkat Cawangan yang bermula 1 April lalu.
Kak Som yang juga Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan menegaskan bahawa UMNO perlu sentiasa mendekati dan menyantuni rakyat tanpa mengira latar belakang bagi memastikan suara dan keperluan mereka terus diberi perhatian.
“UMNO perlu senantiasa bergerak menyantuni warga tanpa mengira latar belakang dalam memastikan parti ini kekal relevan dulu, kini dan selamanya.
“Kita perlu ingat, ada denyut nadi rakyat yang perlu dirasai, ada aspirasi yang perlu penuhi dan ada tanggungjawab yang perlu dilunasi,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau turut menyeru agar seluruh ahli parti merapatkan saf perjuangan demi agama, bangsa dan tanah air tercinta.
“Marilah sama-sama kita rapatkan saf, demi perjuangan murni ini untuk agama, bangsa dan tanah air yang kita cintai. Moga Allah SWT merahmati perjuangan ini,” katanya lagi.
Pada 26 Februari, media melaporkan Perhimpunan Agung UMNO 2026 akan diadakan pada 12 Ogos sehingga 16 Ogos 2026, kata Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.
Menerusi satu kenyataan, beliau turut memaklumkan bahawa Persidangan UMNO Cawangan akan diadakan pada 1 April sehingga 17 Mei 2026 manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian akan diadakan pada 1 Jun hingga 12 Julai 2026. – UMNO Online
