Persidangan Cawangan Perkukuh Akar Umbi, Mantapkan Perjuangan UMNO
KUALA LUMPUR, 2 April – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias menyifatkan cawangan sebagai tunjang utama yang menjadi asas kekuatan dan kelangsungan perjuangan parti.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu berkata peranan cawangan amat penting dalam memastikan gerak kerja parti sentiasa relevan dan selari dengan kehendak rakyat di peringkat akar umbi.
“Selamat bersidang diucapkan kepada seluruh perwakilan Cawangan, Wanita, Pemuda, dan Puteri UMNO di seluruh Malaysia. Persidangan di peringkat cawangan adalah nadi kekuatan parti.
“Inilah medan terbaik untuk kita bermuhasabah, menyusun strategi, dan memperkukuh kesatuan demi memastikan suara rakyat terus diperjuangkan dengan berkesan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Pada masa sama beliau turut mengingatkan agar setiap ahli mengambil peluang yang ada untuk memainkan peranan secara aktif dan konstruktif.
Katanya hal ini penting bagi memastikan setiap perbincangan yang diadakan bukan sekadar formaliti, sebaliknya mampu menghasilkan resolusi yang memberi manfaat kepada parti dan rakyat.
“Gunakanlah ruang ini untuk menyumbang idea yang bernas dan membina.
“Semoga setiap perbincangan membuahkan hasil yang membawa kebaikan kepada agama, bangsa, dan tanah air tercinta,” ujar beliau.
Untuk rekod, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memaklumkan Persidangan Tahunan Cawangan-Cawangan diadakan bermula 1 April hingga 17 Mei 2026 manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 1 Jun hingga 12 Julai 2026.
Manakala Perhimpunan Agung UMNO pula akan diadakan pada 12 Ogos sehingga 16 Ogos 2026. – UMNO Online
