Bersidang Dengan Matang Demi Kesejahteraan Rakyat – Anil Sandhu
KUALA LUMPUR, 3 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kunak, Datuk Seri Dr Anil Sandhu, mengucapkan selamat bersidang kepada seluruh ahli dan cawangan UMNO di seluruh negara sempena berlangsungnya persidangan tahunan parti itu.
Menerusi satu hantaran di laman Facebooknya, beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Lahad Datu berkata, persidangan kali ini diharap dapat berjalan dengan lancar, penuh hikmah serta menjadi medan terbaik untuk membawa suara akar umbi ke landasan yang tepat.
“Selamat bersidang kepada seluruh cawangan UMNO di seluruh negara. Gunakanlah ruang ini sebagai medan memperkukuh perpaduan, memperkemas perjuangan serta memperteguh semangat setia kepada agama, bangsa dan tanah air.
“Bersidanglah dengan matang, berbahaslah dengan berhemah, dan bersatulah dengan tekad yang satu demi kesejahteraan rakyat serta kemakmuran Malaysia tercinta,” katanya.
Mengulas lanjut, Anil juga Pembantu Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah berkata setiap tindakan dan keputusan perlu berteraskan kepentingan rakyat serta nilai keikhlasan dalam berkhidmat.
“Dalam arus cabaran masa kini, marilah kita kembali kepada asas perjuangan mendahulukan kepentingan rakyat, menjunjung nilai keikhlasan dan memelihara amanah yang diberikan.
“Jadikanlah setiap keputusan yang diambil sebagai cerminan jiwa patriotik dan tanggungjawab terhadap masa depan negara,” jelasnya.
Tambah Bendahari Pemuda UMNO Sabah itu, semangat kesatuan dan komitmen yang tinggi dalam kalangan ahli UMNO menjadi kunci utama dalam memastikan perjuangan parti terus relevan dan kukuh.
“Selamat Bersidang kepada seluruh cawangan UMNO di seluruh negara. UMNO dulu, kini dan selamanya,” katanya lagi.
Persidangan UMNO Cawangan dijadualkan berlangsung bermula 1 April hingga 17 Mei 2026, manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pula akan diadakan dari 1 Jun hingga 12 Julai 2026.
Perhimpunan Agung UMNO pula akan diadakan pada 12 Ogos sehingga 16 Ogos 2026. – UMNO Online
