Musyawarah Nasional Fokus Lima Teras Utama Perkukuh Negara – Ahmad Zahid
KUALA LUMPUR, 1 April – Inisiatif Musyawarah Nasional yang diumumkan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2025 dilihat sebagai satu platform penting untuk menghimpunkan pemikiran, pandangan serta cadangan strategik daripada pelbagai lapisan masyarakat Melayu mengenai hala tuju masa depan negara.
Presiden UMNO yang juga Pengasas Musyawarah Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, program ini bukan sekadar wacana biasa, sebaliknya merupakan usaha kolektif bagi mencari titik temu, merumus penyelesaian dan membina konsensus nasional dalam mendepani pelbagai cabaran semasa.
“Musyawarah Nasional ini bukan sekadar satu wacana biasa, tetapi merupakan usaha bersama untuk membina kesepakatan dan merangka penyelesaian terhadap isu-isu utama yang menyentuh kepentingan agama, masyarakat, ekonomi, pendidikan dan politik orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, musyawarah tersebut dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Ghani Othman, yang berpengalaman luas dalam pentadbiran kerajaan dan sektor korporat, termasuk pernah memegang jawatan sebagai Menteri Besar Johor, Menteri Belia dan Sukan serta Pengerusi Sime Darby Berhad dan Johor Corporation.
Bagi memastikan perbincangan berlangsung secara tersusun dan komprehensif, Musyawarah Nasional akan memberi tumpuan kepada lima teras utama:
1. Teras Agama – dipengerusikan oleh Datuk Prof. Dr. Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim, yang akan menumpukan kepada usaha memperkukuh kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta memperkasa kefahaman dan pengamalan Islam yang sederhana dan progresif dalam masyarakat.
2. Teras Politik – dipengerusikan oleh Prof. Dr. Zainal Abidin Sanusi, yang akan menilai dinamika politik semasa serta merumus pendekatan baharu bagi memastikan kestabilan politik, kesinambungan kepimpinan dan kematangan demokrasi negara.
3. Teras Ekonomi – dipengerusikan oleh Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir Jamalullail, yang akan membincangkan strategi memperkukuh kedudukan ekonomi orang Melayu agar lebih berdaya saing, inklusif dan mampan dalam ekonomi negara.
4. Teras Pendidikan – dipengerusikan oleh Datuk Seri Prof. Dr. Noor Inayah Ya’akub, yang akan meneliti agenda pemerkasaan pendidikan sebagai asas pembinaan modal insan berkualiti serta peningkatan keupayaan generasi masa depan.
5. Teras Sosial – dipengerusikan oleh Datuk Prof. Dr. Mohammad Shatar Sabran, yang akan memberi perhatian kepada aspek kesejahteraan sosial, perpaduan masyarakat, pembinaan nilai dan budaya, serta pengukuhan institusi keluarga serta komuniti.
Menurut Ahmad Zahid, penglibatan tokoh-tokoh berwibawa serta penyertaan pelbagai pihak termasuk akademia, pemimpin masyarakat, golongan profesional, belia dan badan bukan kerajaan diyakini mampu menghasilkan rumusan yang konstruktif dan berpandangan jauh.
“Saya yakin Musyawarah Nasional ini mampu menjadi platform penting untuk memperkukuh kesatuan, memperkasa agenda bangsa dan membina masa depan Malaysia yang lebih sejahtera,” katanya.
Beliau turut menyeru semua pihak agar menyertai musyawarah ini secara terbuka, matang dan bertanggungjawab demi memastikan kejayaannya sebagai wadah penyatuan dan pembangunan negara. – UMNO Online
