Mesyuarat Cawangan Medan Perkukuh UMNO, Bawa Usul Berkepentingan Untuk Parti

KUALA LUMPUR, 1 April – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Rozabil Abdul Rahman menyifatkan mesyuarat cawangan yang berlangsung pada ketika ini sebagai medan terbaik bagi memperkukuh akar umbi.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Arau berkata bahawa cawangan memainkan peranan penting kerana menjadi asas utama kepada perjuangan UMNO parti keramat ini.

“Cawangan merupakan tulang belakang dan kekuatan sebenar parti di akar umbi. Di sinilah suara sebenar parti di bentuk, diangkat dan diperjuangkan.

“Akar umbi adalah nadi kekuatan UMNO, tempat lahirnya keikhlasan, kesetiaan dan semangat juang yang tidak pernah padam,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Dalam pada itu Rozabil turut sama berharap mesyuarat cawangan menjadi peluang terbaik untuk membawa usul-usul yang berkepentingan kepada parti.

Katanya ruang persidangan ini  penting kerana ia membolehkan setiap perwakilan menyuarakan pandangan bagi memperkukuh strategi serta dasar parti.

“Gunakan ruang persidangan ini dengan penuh hikmah, kematangan dan iltizam untuk memperkukuh saf perjuangan serta memastikan UMNO terus kekal relevan, kuat dan diyakini rakyat.

“Semoga setiap perbincangan membawa makna, setiap pandangan menyatukan kita dan setiap keputusan memperteguh masa depan parti yang kita cintai,” ujar beliau.

Untuk rekod, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO memaklumkan bahawa Persidangan Tahunan Cawangan-Cawangan  diadakan bermula 1 April hingga 17 Mei 2026 manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 1 Jun hingga 12 Julai 2026.

Manakala Perhimpunan Agung UMNO pula akan diadakan pada 12 Ogos sehingga 16 Ogos 2026. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO