YB Duyong Syukur Inisiatif Tuisyen Percuma SPM Bantu Pelajar
KUALA LUMPUR, 1 April – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem menzahirkan rasa syukur apabila inisiatif Tuisyen Percuma SPM #DUYONGkita terus memberi manfaat kepada para pelajar.
Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Bahagian Kota Melaka berkata, ini kerana program tersebut yang sebelum ini membantu anak-anak di Rumah Kasih Tun Abdul Aziz Melaka kini diperluas kepada penghuni Tunas Bakti Sungai Lereh.
“Setiap perubahan adalah kejayaan, besar kecil kejayaan bukan persoalan.
“Yang penting usaha ini mampu memberi peluang kepada anak-anak untuk memperbaiki masa depan mereka,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook sambil berkongsi tangkap layar seorang warga Sekolah Tunas Bakti Sungai Lereh yang meluahkan kesyukuran atas prestasi membanggakan para pelajar.
Dalam masa sama, beliau turut menitipkan pesanan kepada para pelajar yang mendapat manfaat daripada program tersebut agar membantu orang lain apabila berjaya kelak.
Helmy juga berseloroh apabila meminta para pelajar yang berjaya kelak supaya tidak melupakan jasa bantuan yang diterima.
“Buat anak-anak Rumah Kasih Tun Abdul Aziz dan Tunas Bakti Lereh yang mendapat manfaat dari Tuisyen Percuma SPM #DUYONGkita, abang waibee ni tak minta banyak pun sebagai balasan.
“Esok lusa bila korang dah berjaya kelak, korang lak masa tu membantu orang lainkan, masa tu macam-macam manusia akan puji korangkan, masa tu ko jawab dengan rasa rendah diri penuh tawadduk ‘Kejayaan saya hari ini adalah bermula dari Tuisyen SPM Percuma #DUYONGkita anjuran Allahyarham Waibee Helmy,” ujar beliau.
Namun di sebalik gurauan tersebut, beliau menegaskan mesej sebenar adalah supaya generasi muda terus membantu orang lain apabila sudah berjaya, sekali gus mewujudkan kitaran kebaikan dalam masyarakat.
“Masa tu bila korang cakap, abang ko ni dalam kubur pun akan terus berlagak kembali. Malaikat nak sebat tangguh lagi. Sebab pahala baru top up dari dunia tipu-tipu ini. Ingat, korang jangan berlagak. Waibee Helmy je yang boleh berlagak,” katanya lagi.
Untuk rekod Program Tuisyen Percuma SPM #DUYONGkita merupakan antara inisiatif kebajikan yang dilaksanakan bagi membantu pelajar daripada golongan kurang berkemampuan mendapatkan sokongan pendidikan yang sewajarnya. – UMNO Online
