Persidangan UMNO Cawangan Bukan Sekadar Berhimpun – Reezal Merican

KUALA LUMPUR, 1 April – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata persidangan UMNO cawangan bukan sekadar berhimpun tetapi menyusun langkah untuk bangkit.

Menurut beliau yang juga Ketua UMNO Kepala Batas, perjuangan ini bukan mudah, tetapi sejarah telah membuktikan UMNO tidak pernah rebah kerana tekanan, sebaliknya bangkit lebih kuat setiap kali diuji.

“Dalam kehangatan Syawal yang masih terasa, semangat perjuangan kita tidak pernah padam dan malah terus menyala dan membara.

“Semalam, saya dengan penuh rasa tanggungjawab dan semangat juang telah menyempurnakan Majlis Perasmian Kelompok Persidangan UMNO Cawangan melibatkan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Kepala Batas.

“Kehadiran pimpinan kanan UMNO Bahagian antaranya Datuk Roslan Saidin selaku Timbalan Ketua UMNO Bahagian merangkap Pengerusi Pengurusan; Saudara Nordin Wahab, Naib Ketua UMNO Bahagian; Puan Zainab Bakar, Ketua Wanita UMNO Bahagian; Saudara Helmi Juhari, Ketua Pergerakan Pemuda; Saudari Farah Izzati Abdul Rahman, Ketua Pergerakan Puteri dan pimpinan lain  menambah lagi aura kekuatan dan kebersamaan sebagai satu gambaran jelas bahawa perjuangan ini bukan bersendirian, tetapi digalas bersama oleh satu saf yang kukuh dan setia,” katanya.

Reezal yang  juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam seterusnya menambah tugasnya sebagai wakil rakyat bukanlah alasan untuk memperlahankan langkah.

“Walaupun saya kini memikul amanah sebagai ADUN Bertam, itu bukan alasan untuk kita memperlahankan langkah. Sebaliknya, ia adalah satu seruan untuk kita bekerja lebih keras, turun ke akar umbi, menyantuni rakyat tanpa jemu dan tanpa henti.

“Tanggungjawab ini perlu diteruskan, selaras dengan nilai perjuangan serta amanah yang diwariskan oleh Ayahanda Almarhum Tun Abdullah kepada saya.

“Ingatlah kekuatan parti ini terletak pada akar umbinya. Jika kukuh di bawah, maka teguhlah ia sampai ke atas. Ayuh kita rapatkan saf, perkuatkan gerak kerja, dan hidupkan semula semangat perjuangan dalam jiwa setiap ahli. Jangan biarkan obor perjuangan ini malap dan kitalah pewaris yang akan memastikan ia terus menyala,” tambahnya.

Terdahulu, Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang berlangsung pada 26 Februari lalu telah memaklumkan bahawa Persidangan Tahunan Cawangan-Cawangan akan diadakan bermula 1 April hingga 17 Mei 2026 manakala Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian pada 1 Jun hingga 12 Julai 2026.

Perhimpunan Agung UMNO pula akan diadakan pada 12 Ogos sehingga 16 Ogos 2026. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO