Kes Kematian Libat Pemandu Mabuk: Dr Akmal Desak Hukuman Lebih Tegas
KUALA LUMPUR, 30 Mac – Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menggesa kerajaan mengambil langkah lebih tegas termasuk memperketatkan hukuman terhadap kes pemandu mabuk yang menyebabkan kematian.
Beliau berkata, kemalangan tragis yang meragut nyawa Allahyarham Amirul Hafiz Omar baru-baru ini bukan sahaja satu kehilangan besar kepada keluarga, malah menjadi peringatan serius mengenai ancaman pemandu mabuk di jalan raya.

Menurutnya, insiden seumpama itu bukan lagi kes terpencil, sebaliknya semakin kerap berlaku sehingga menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Amirul Hafiz Omar yang telah kembali ke rahmatullah akibat kemalangan tragis semalam. Pemergian beliau bukan sekadar satu kehilangan kepada keluarga, tetapi satu lagi peringatan pedih kepada kita semua tentang ancaman nyata pemandu mabuk di jalan raya.
“Hakikatnya, ini bukan insiden terpencil. Terlalu kerap kita mendengar nyawa insan tidak bersalah diragut oleh kecuaian pihak yang memilih untuk memandu dalam keadaan mabuk. Lebih membimbangkan, kejadian sebegini seolah-olah tidak lagi memberi kesan kepada golongan terbabit, malah dilihat semakin berleluasa.
“Sejak awal, kita telah mendesak agar hukuman terhadap pemandu mabuk diperketatkan. Walaupun undang-undang sedia ada di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) memperuntukkan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun serta denda RM50,000 hingga RM100,000, realitinya ia masih belum cukup kuat untuk mengekang jenayah ini,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Ujarnya, pampasan mandatori yang signifikan kepada keluarga mangsa yang wajib ditanggung oleh pelaku juga sepatutnya dilaksanakan untuk mengekang kejadian seumpama berulang.
“Justeru, sudah tiba masanya kerajaan mengambil langkah lebih berani dan tegas. Nyawa manusia tidak boleh terus dipertaruhkan dengan hukuman yang tidak memberi kesan pencegahan yang nyata.
“Sehubungan itu, saya sekali lagi mencadangkan agar pendakwaan di bawah Kanun Keseksaan bagi kes melibatkan kematian akibat pemandu mabuk, dengan hukuman lebih berat termasuk penjara seumur hidup atau hukuman yang setimpal dengan kesalahan tersebut seperti hukuman mati.
“Kedua, pampasan mandatori yang signifikan kepada keluarga mangsa wajib ditanggung oleh pelaku. Sekiranya pelaku tidak berkemampuan, mekanisme tanggungan alternatif termasuk penglibatan keluarga pelaku perlu dipertimbangkan secara adil dan berperundangan.
“Terakhir, skim khairat kematian berpusat yang diwajibkan kepada semua pemegang lesen memandu, bagi memastikan bantuan segera dapat disalurkan kepada keluarga mangsa tanpa birokrasi yang melambatkan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut menggesa Menteri Pengangkutan untuk membawa usul dan mengambil tindakan legislatif berhubungan perkara tersebut.
“Kita tidak boleh lagi melihat isu ini sebagai kesalahan biasa. Jika kesalahan berkaitan dadah dikenakan hukuman berat kerana merosakkan masyarakat, maka perbuatan memandu dalam keadaan mabuk sehingga meragut nyawa juga wajar dipandang dengan keseriusan yang sama – malah lebih, kerana ia melibatkan kehilangan nyawa secara langsung.
“Saya ingin menggesa Menteri Pengangkutan dan semua Ahli Parlimen, tanpa mengira blok politik, untuk segera membawa usul serta mengambil tindakan legislatif yang tuntas dalam perkara ini. Tolong jangan tunggu lagi. Berapa banyak lagi nyawa tidak bersalah perlu terkorban sebelum kita benar-benar bertindak?
“Nilai sebuah nyawa itu tidak ternilai. Jangan sampai kita hanya tersedar apabila ia melibatkan orang yang kita sayangi. Tepuk dada, tanyalah diri,” katanya lagi. – UMNO Online
