3,685 Mahasiswa Terima Insentif IMAJ, Bukti Komitmen Johor Perkasa Pendidikan

JOHOR BAHRU, 30 Mac — Kerajaan Negeri Johor terus memperkukuh agenda pembangunan pendidikan apabila seramai 3,685 mahasiswa menerima manfaat melalui Insentif Mahasiswa Anak Johor (IMAJ) dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM737,000.

Majlis penyerahan insentif tersebut telah disempurnakan oleh Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor, melibatkan kawasan DUN Bukit Permai, Bukit Batu dan Senai.

Dalam hal ini, Mohd Jafni menjunjung kasih kepada Pemangku Sultan Johor atas keprihatinan berterusan terhadap kebajikan serta masa depan anak-anak Johor, khususnya dalam memastikan akses pendidikan terus diperkasa.

“Inisiatif seperti Insentif Mahasiswa Anak Johor (IMAJ) ini mencerminkan kasih sayang dan komitmen kepimpinan negeri terhadap generasi pewaris Bangsa Johor,” katanya.

Menurut beliau, program tersebut bukan sekadar bantuan kewangan, malah menjadi simbol komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan tiada anak Johor tercicir daripada arus pendidikan tinggi.

“Ini adalah pelaburan besar negeri untuk masa depan kerana kita yakin pendidikan merupakan asas kepada pembinaan Johor yang lebih maju, berdaya saing dan berkemajuan tinggi,” tambahnya.

Beliau turut menegaskan bahawa usaha ini selari dengan agenda kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, serta Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin, yang memberi penekanan kepada pembangunan modal insan.

“Kita bukan sahaja mahu melahirkan graduan, tetapi anak Johor yang berilmu, berkemahiran dan mampu menyumbang kembali kepada negeri serta negara,” ujarnya.

Dalam masa sama, beliau berkata kejayaan Johor mencatat pelaburan tertinggi dalam negara serta peningkatan hasil negeri perlu diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada rakyat, termasuk melalui sokongan pendidikan.

“Kita mahu setiap kejayaan ekonomi negeri diterjemahkan kepada peluang yang lebih luas untuk generasi muda,” katanya lagi.

Kerajaan Negeri, katanya, akan terus komited memperkasa pendidikan dan kebajikan anak Johor demi memastikan masa depan negeri yang lebih gemilang. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO