Masjid Terapung Yan Bakal Jadi Tarikan Baharu Pelancongan Kedah – Ahmad Maslan

YAN, 27 Mac – Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan meninjau status kemajuan projek menyiapkan baki kerja pembinaan Masjid Terapung di Daerah Yan, Kedah yang telah melalui kaedah tawaran semula.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, projek berkenaan yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) melibatkan kos kontrak sebanyak RM12.431 juta dan kini berada di peringkat akhir pelaksanaan.

“Pembinaan masjid ini merupakan salah satu inisiatif kerajaan dalam menyediakan kemudahan ibadah yang selesa dan selamat kepada penduduk setempat, di samping berpotensi menjadi tarikan pelancongan baharu di Negeri Kedah.

“Projek ini juga dijangka memberi impak positif terhadap pembangunan sosioekonomi komuniti setempat.

“Kontraktor terdahulu bagi projek ini telah diberikan notis penamatan kontrak pada 15 Mac 2021 berikutan isu pelaksanaan projek,” katanya ketika lawatan berkenaan di Yan, Kedah.

Mengulas lanjut, beliau juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO turut menambah susulan itu, proses pelantikan kontraktor baharu telah dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan bagi memastikan kesinambungan projek.

“Kontraktor baharu yang dilantik telah mula mengambil alih tapak projek pada 11 Julai 2023, dan kini kerja-kerja pembinaan berada di peringkat akhir pelaksanaan.

“Sehingga 25 Februari 2026, projek ini telah mencapai kemajuan fizikal sebanyak 98.6 peratus. Projek ini dilaksanakan secara kaedah konvensional dalaman dengan pemantauan rapi oleh agensi pelaksana bagi memastikan kualiti kerja serta pematuhan kepada spesifikasi yang ditetapkan sentiasa terjamin,” katanya lagi.

Tambah beliau lagi, antara skop utama projek termasuk penyiapan baki pembinaan bangunan masjid, struktur sampingan seperti gerbang, menara tangki air dan menara azan, selain pembinaan Compact Sub Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Small Sewage Treatment System (SSTS) dan kerja-kerja luaran.

“Projek tersebut turut melibatkan kerja-kerja mekanikal dan elektrikal bagi memastikan kemudahan lengkap dan berfungsi dengan baik.

“Kementerian Kerja Raya (KKR) berharap apabila siap kelak, Masjid Terapung Yan bukan sahaja menjadi pusat ibadah, malah simbol pembangunan serta kesejahteraan komuniti di daerah berkenaan,” ujarnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO