Pemuda UMNO Perkukuh Rumah Bangsa, Fokus Kestabilan Negara – Azman Azeez

KUALA LUMPUR, 18 Mac– Exco Pemuda UMNO Malaysia, Mohamed Khairul Azman Abdul Azeez menegaskan bahawa usaha berterusan memperkukuh perpaduan parti melalui agenda Rumah Bangsa kini semakin mendapat momentum dan dukungan padu kepimpinan tertinggi.

Menurut beliau, inisiatif yang digerakkan oleh Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh itu bukan sahaja diterima baik di peringkat akar umbi, malah masyarakat keseluruhan.

“Alhamdulillah… usaha berterusan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dalam memperkukuh perpaduan parti melalui agenda Rumah Bangsa kini mendapat dukungan penuh dan sedang dilaksanakan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Pendekatan inklusif ini selari dengan prinsip konsolidasi politik bagi mengukuhkan semula kepercayaan akar umbi serta membuka ruang kepada mereka yang ingin kembali menyumbang kepada parti.

“Ia juga membuka ruang seluas-luasnya kepada mereka yang ingin kembali menyumbang tenaga dan idea demi memperkukuh UMNO sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya,” katanya.

Mengulas perkembangan semasa, beliau berkata mesyuarat turut memberi perhatian terhadap konflik Iran dan Israel yang dilihat memberi impak besar kepada kestabilan ekonomi global.

“Dalam konteks global, mesyuarat turut meneliti perkembangan konflik Iran–Israel yang memberi kesan langsung kepada kestabilan ekonomi dunia.

“Kenaikan harga minyak, gangguan rantaian bekalan, serta tekanan inflasi global berpotensi meningkatkan kos sara hidup rakyat Malaysia. Satu realiti yang perlu ditangani dengan dasar responsif dan berstrategi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khairul Azman yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Baling turut memaklumkan bahawa fokus utama di peringkat domestik adalah terhadap kesiapsiagaan menghadapi beberapa Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

“Usaha memperkukuh jentera parti dan kesiapsiagaan menghadapi beberapa PRN, termasuk pengukuhan jentera, pemetaan sokongan pengundi muda, serta strategi komunikasi berimpak tinggi.

“Persiapan bagi persidangan UMNO di peringkat cawangan dan bahagian juga dibincangkan sebagai platform memperkukuh struktur organisasi serta menyuburkan demokrasi dalaman parti,” katanya lagi.

Tambah beliau, sambutan ulang tahun UMNO ke-80 yang bakal berlangsung tidak lama lagi akan menjadi simbol kekuatan sejarah perjuangan parti serta medan refleksi untuk memperbaharui tekad dalam menghadapi cabaran masa depan.

“Tidak dilupakan, perancangan sambutan ulang tahun UMNO ke-80 bakal menjadi manifestasi sejarah panjang perjuangan parti dalam membela agama, bangsa dan tanah air serta titik refleksi untuk memperbaharui tekad menghadapi masa depan,” tegasnya. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO