Sri Rahayu Imarahkan Ramadan, Iftar, Terawih Dan Tadarus Perkukuh Silaturrahim
PASIR SALAK, 17 Mac – Ketua Wanita UMNO Bahagian Pasir Salak, Datin Sri Rahayu Tajuddin terus memainkan peranan aktif dalam mengimarahkan bulan Ramadan menerusi penganjuran program iftar, solat terawih dan tadarus bersama masyarakat setempat.
Menurutnya, penganjuran majlis iftar, terawih dan tadarus bukan sahaja bertujuan menyemarakkan amalan ibadah sepanjang Ramadan, malah menjadi medium penting untuk memperkukuh hubungan silaturrahim antara pemimpin dan masyarakat.

“Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan dan peluang terbaik untuk kita mempereratkan hubungan sesama insan. Melalui program seperti ini, kita dapat berkumpul, berkongsi rezeki dan saling mengenali dengan lebih dekat,” katanya.
Jelas beliau, program yang diadakan dilaksana dalam suasana penuh kemesraan bukan sahaja menghimpunkan ahli Wanita UMNO tetapi juga melibatkan penduduk setempat serta pelbagai lapisan masyarakat bagi bersama-sama menghayati keberkatan bulan Ramadan.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program tersebut termasuk sukarelawan dan ahli Wanita UMNO Pasir Salak yang berganding bahu memastikan kelancaran majlis.
Selain majlis berbuka puasa, solat terawih dan tadarus, program berkenaan turut diisi dengan sesi ramah mesra bersama penduduk serta penyampaian sumbangan kepada golongan yang memerlukan.
“Inisiatif seumpama ini diharap dapat terus menyemarakkan semangat kebersamaan dan memupuk nilai perpaduan dalam kalangan masyarakat sepanjang bulan Ramadan.”

Dalam program berlainan, Sri Rahayu juga meluangkan masa mengunjungi Bazar Ramadan di Changkat Lada yang menjadi antara lokasi tumpuan masyarakat setempat untuk mendapatkan pelbagai juadah berbuka puasa.
Menurut beliau, bazar Ramadan memainkan peranan penting dalam menyemarakkan suasana bulan yang penuh keberkatan ini.
“Bazar Ramadan bukan sekadar tempat membeli juadah berbuka puasa, tetapi juga ruang masyarakat berkumpul, berinteraksi dan merasai kemeriahan Ramadan bersama-sama,” katanya.
Tambah beliau lagi, usaha mengimarahkan Ramadan bukan hanya tertumpu kepada ibadah semata-mata, tetapi juga melibatkan aktiviti kemasyarakatan yang mampu memperkukuhkan perpaduan dan kesejahteraan masyarakat setempat. – UMNO Online
