Norliza Sambut Baik Inisiatif “Rumah Bangsa”, Seru Bekas Ahli Kembali Bersatu
KUALA LUMPUR, 17 Mac – Naib Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Norliza Abdul Rahim menyambut baik hasrat penubuhan inisiatif Rumah Bangsa yang dilihat mampu menjadi platform penting untuk menyatukan semula keluarga besar parti itu, khususnya kepada bekas pemimpin dan ahli yang pernah digantung atau dipecat.
Beliau berkata, inisiatif tersebut membuka ruang baharu kepada mereka yang pernah bersama perjuangan UMNO untuk kembali menyumbang kepada parti demi memperkukuh perpaduan dan kekuatan politik orang Melayu.
Menurutnya, pendekatan yang lebih terbuka dan inklusif ini selari dengan semangat penyatuan yang sentiasa menjadi teras perjuangan parti sejak sekian lama.

“Rumah Bangsa bukan sekadar satu simbol, tetapi satu ruang untuk merapatkan kembali saf perjuangan. Kepada bekas pemimpin atau ahli UMNO yang pernah melalui episod sukar, inilah masa untuk kembali bersama demi memperkukuh kekuatan parti dan masa depan bangsa,” katanya kepada UMNO Online.
Pada masa sama, Norliza turut membidas pihak luar yang tidak mempunyai kaitan dengan UMNO namun sering melontarkan pandangan negatif serta memperlekehkan usaha penyatuan parti.
“Ada pihak yang langsung tiada kaitan dengan UMNO tetapi begitu ghairah memandang serong dan melabel parti ini dengan pelbagai gelaran. Hakikatnya mereka tidak memahami roh perjuangan UMNO yang sentiasa mengutamakan perpaduan dan kestabilan,” tegas beliau.
Beliau menegaskan bahawa UMNO tidak memerlukan campur tangan pihak luar dalam menentukan hal ehwal dalaman parti, sebaliknya segala usaha penyatuan perlu dihormati sebagai proses memulihkan kekuatan organisasi.
Dalam pada itu, Norliza menyeru semua pihak yang pernah bersama perjuangan UMNO agar mengenepikan perbezaan lama dan kembali bersatu di bawah satu payung demi kepentingan agama, bangsa dan negara.
“Ketika cabaran politik semakin kompleks, perpaduan adalah kekuatan utama. UMNO mesti terus berdiri sebagai wadah penyatuan orang Melayu dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” ujarnya.

Terdahulu Norliza yang juga Pengerusi PTPTN telah meraikan para media dalam Majlis Iftar bersama PTPTN, semalam.
Beliau merakamkan penghargaan kepada pihak media atas komitmen berterusan dalam membantu menyampaikan maklumat serta memperjelaskan pelbagai inisiatif PTPTN kepada masyarakat.
Beliau berkata, peranan media amat penting sebagai penghubung antara PTPTN dan rakyat, selain membantu membina kefahaman masyarakat terhadap tanggungjawab pembayaran balik pinjaman serta kepentingan perancangan kewangan melalui.
“Media bukan sekadar menyampaikan maklumat, malah memainkan peranan penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap fungsi dan inisiatif yang dilaksanakan oleh PTPTN. Laporan yang tepat dan seimbang membantu masyarakat memahami dasar serta usaha penambahbaikan yang dilakukan,” katanya. – UMNO Online
