Majlis Iftar UMNO Putatan Teguhkan Semangat Perpaduan

PUTATAN, 17 Mac – Majlis Iftar UMNO Bahagian P.173 Putatan yang berlangsung baru-baru ini menjadi platform utama untuk mengeratkan hubungan antara pimpinan dan ahli parti di peringkat bahagian, sambil mencerminkan semangat perpaduan serta komitmen berterusan dalam memperkukuh silaturahim.

Majlis yang dihadiri lebih 274 pimpinan akar umbi serta kepimpinan di keempat-empat peringkat UMNO Bahagian Putatan, termasuk Ketua Wanita, Pemuda dan Puteri, berlangsung dalam suasana mesra dan harmoni. Kehadiran ramai pimpinan menunjukkan usaha berterusan parti untuk memperkukuh hubungan di semua peringkat serta memastikan kerjasama yang padu dalam menghadapi cabaran masa depan.

Ketua UMNO Bahagian Putatan, Jeffery Nor Mohamed, berkata majlis iftar ini lebih daripada sekadar berbuka puasa, sebaliknya menjadi medan untuk mempererat ukhwah antara pimpinan dan ahli.

“Majlis iftar ini bukan sahaja untuk berbuka puasa bersama, tetapi juga mencerminkan semangat perpaduan dan komitmen berterusan kita dalam memperkukuh hubungan antara pimpinan dan ahli di peringkat bahagian. Semoga ikatan ini terus kuat dan memberi manfaat kepada perjuangan parti,” katanya.

Beliau turut menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada pimpinan akar umbi sebagai tanda penghargaan dan sokongan.

“Saya berharap sumbangan kecil ini dapat membantu mereka menyambut lebaran dengan lebih bermakna. Yang penting, semangat kebersamaan dan ukhwah yang terjalin dalam majlis ini akan terus menjadi tunjang kekuatan kita bersama.”

Ujarnya lagi, walaupun berbuka bersama dalam suasana santai, nilai perpaduan, kerjasama, dan komitmen terhadap parti tetap menjadi keutamaan bagi UMNO Putatan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO