Bazar Usahawan Masjid Di Kimanis Bakal Beri Peluang Kepada Usahawan Mikro
KIMANIS, 16 Mac – Projek pembangunan Bazar Tamu Usahawan di Masjid Jamek Haji Said Derun, Kampung Melagui Kelatuan, Batu 6, DUN Bongawan, dijangka memberi peluang kepada sekurang-kurangnya 20 usahawan mikro dan kecil di kawasan Mukim Batu Enam untuk mengembangkan perniagaan serta meningkatkan pendapatan.
Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin, yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), menghadiri Majlis Pecah Tanah projek tersebut yang akan dilaksanakan oleh UDA Holdings Berhad, iaitu agensi di bawah KUSKOP.

Menurut Mohamad, projek berkenaan diharap dapat merancakkan lagi aktiviti ekonomi setempat selain membuka lebih banyak peluang kepada usahawan kecil.
Ujarnya, projek bernilai kira-kira RM1.4 juta itu dibangunkan bagi menyediakan ruang perniagaan yang lebih tersusun kepada usahawan tempatan khususnya di sekitar kawasan Batu Enam.
“Projek ini dijangka memberi peluang kepada sekurang-kurangnya 20 usahawan mikro dan kecil di sekitar Mukim Batu Enam untuk menjalankan perniagaan sekali gus membantu meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.
Beliau turut meminta pihak jawatankuasa masjid menubuhkan koperasi kariah bagi memastikan pengurusan serta pemantauan operasi bazar tamu itu dapat dijalankan secara lebih teratur.
“Saya mencadangkan agar koperasi kariah ditubuhkan bagi mengurus dan memantau pengoperasian Bazar Tamu ini supaya lebih sistematik dan memberi manfaat berterusan kepada komuniti setempat,” tambahnya.
Dalam masa sama, Mohamad merakamkan penghargaan kepada Majlis Ugama Islam Sabah serta jawatankuasa Masjid Jamek Haji Said Derun kerana memberi kebenaran menggunakan sebahagian tanah wakaf bagi menjayakan projek pembangunan tersebut. – UMNO Online
