Rais Santuni Komuniti Ramadan, Rai Anak Yatim Dan Meriahkan Aktiviti Surau
KUALA LUMPUR, 15 Mac – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput, Datuk Rais Yasin terus memperkukuh hubungan bersama masyarakat setempat apabila menghadiri beberapa program kemasyarakatan sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan di kawasan tersebut.
Beliau terlebih dahulu memenuhi jemputan ke Majlis Khatam Al-Quran Peringkat Surau At-Muttaqin yang berlangsung dalam suasana sederhana namun penuh makna dengan kehadiran warga kariah yang bersama-sama memeriahkan majlis berkenaan.
Menurut beliau, majlis seumpama itu bukan sekadar menandakan penutup kepada bacaan Al-Quran sepanjang Ramadan, malah menjadi platform penting dalam mengeratkan hubungan silaturahim antara masyarakat setempat.
“Seronok melihat warga kariah berkumpul dan memeriahkan majlis yang penuh keberkatan ini. Semoga setiap ayat yang dibaca menjadi pahala yang berterusan kepada semua yang terlibat,” katanya.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 sebagai sokongan kepada usaha pengimarahan Surau At-Muttaqin agar pelbagai aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan dapat terus dilaksanakan demi manfaat penduduk setempat.
Selain itu, beliau juga hadir memenuhi undangan ke Majlis Meraikan Anak Yatim Kariah Masjid Al Aminin yang berlangsung di Dewan Terbuka Masjid Al Aminin, Kampung Batang Tiga.
Majlis berkenaan berlangsung dalam suasana penuh kesyukuran dan mahabbah apabila seramai 21 orang anak yatim diraikan dengan pemberian sumbangan bagi menceriakan mereka sepanjang Ramadan.
Rais berkata program seumpama ini amat penting kerana ia bukan sahaja memberi kegembiraan kepada anak-anak yatim, malah menjadi ruang untuk masyarakat menunjukkan rasa kasih sayang dan keprihatinan terhadap golongan yang memerlukan.
Dalam kesempatan sama, beliau turut menyalurkan sumbangan bagi pembinaan anjung di kawasan tempat wuduk masjid tersebut bagi meningkatkan keselesaan para jemaah yang menggunakan kemudahan berkenaan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak termasuk jawatankuasa masjid, sukarelawan serta masyarakat setempat yang berganding bahu menjayakan kedua-dua program tersebut.
Menurutnya lagi, usaha mengimarahkan masjid dan surau serta menyantuni golongan memerlukan adalah antara nilai penting yang perlu terus dipupuk dalam masyarakat, khususnya sepanjang bulan Ramadan.
“Semoga segala usaha dan sumbangan yang diberikan ini menjadi amal jariah serta diberkati oleh Allah SWT,” katanya lagi.- UMNO Online
