Puteri UMNO Salur Sumbangan Bakul Makanan, Manfaat Kepada Golongan Memerlukan

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Pergerakan Puteri UMNO Malaysia telah menerima sumbangan bakul makanan daripada Kedutaan Besar China di Malaysia untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan sempena menjelang Syawal.

Pegawai Diplomatik kepada Presiden UMNO Malaysia, Datuk Jailani Harun berkata, kerjasama pemberian sumbangan tersebut telah bermula sejak tahun 2020 ketika negara berdepan pandemik COVID-19.

Menurut beliau, program tersebut sebelum ini pernah dilaksanakan di Bagan Datuk pada tahun lalu dengan penyaluran sebanyak 200 bakul makanan kepada masyarakat setempat.

“Hari ini kita menerima sumbangan bakul makanan daripada Kedutaan Besar China di Malaysia. Kerjasama ini telah bermula sejak tahun 2020 pada zaman COVID-19.

“Kali terakhir kita melaksanakan program ini adalah di Bagan Datuk pada tahun lalu dengan sebanyak 200 bakul makanan disumbangkan.

“Pada tahun ini saya membuat keputusan untuk menyerahkan bakul makanan ini kepada Pergerakan Puteri UMNO untuk disalurkan kepada golongan yang memerlukan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Nurul Amal Mohd Fauzi merakamkan penghargaan kepada pimpinan parti atas usaha menyalurkan sumbangan tersebut kepada sayap parti itu.

Menurutnya, sumbangan berkenaan akan diagihkan kepada kira-kira 300 hingga 400 penerima yang memerlukan melalui program yang akan diadakan pada Sabtu.

“Terima kasih kepada Datuk Jailani dan pimpinan kerana membantu dari segi sumbangan hari ini dan menyalurkannya kepada Pergerakan Puteri UMNO.

“Esok kita akan menggunakan sumbangan ini dan memilih dalam kalangan mereka yang memerlukan, dianggarkan sekitar 300 hingga 400 orang penerima,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa Puteri UMNO akan turut menganjurkan program ‘free market’ yang menyediakan pelbagai barangan termasuk pakaian untuk golongan memerlukan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Dianggarkan beribu helai pakaian akan disumbangkan. Kita telah mengasingkan pakaian yang masih elok dipakai dan meletakkan tanda saiz supaya penerima dapat memilih dengan selesa seperti membeli di kedai.

“Selain pakaian kanak-kanak, terdapat juga pakaian dewasa, tudung, kasut dan pelbagai barangan lain untuk membantu menceriakan sambutan Aidilfitri mereka,” katanya lagi.

Tambah beliau, inisiatif tersebut bertujuan membantu keluarga yang berdepan kekangan kewangan agar mereka juga dapat merasai kegembiraan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Anggaplah seolah-olah datang ke pusat beli-belah Puteri UMNO di Bukit Bintang supaya semua dapat bersama-sama menceriakan suasana Aidilfitri.

“Insya-Allah penerima dan juga pemberi akan merasa gembira di samping memperoleh keberkatan pada bulan Ramadan yang mulia ini,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO