Program Deco Wanita UMNO Bawa Keceriaan Kepada Penduduk

SEGAMAT, 13 Mac – Kepimpinan Wanita UMNO Johor terus memperkukuh peranan mendekati masyarakat apabila melaksanakan Program Deco di Zon Gemereh yang melibatkan lima buah rumah penduduk setempat, hari ini.

Naib Ketua Wanita UMNO Johor, Datuk Norshida Ibrahim berkata, usaha tersebut merupakan antara inisiatif berterusan Wanita UMNO dalam menyantuni masyarakat, khususnya dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.

Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat bersama kepimpinan Wanita bahagian dan cawangan yang hadir berganding tenaga membantu menceriakan kediaman keluarga terlibat, di sini.

Ujarnya, melalui program diketuai oleh Hafizah Yacob, pasukan Wanita UMNO menukar kusyen kerusi, alas meja, langsir dan karpet selain menyediakan beberapa keperluan rumah serta menghias ruang tamu dengan bunga-bungaan bagi mewujudkan suasana yang lebih ceria dan selesa kepada penghuni.

“Kami bukan sekadar membantu menceriakan ruang rumah mereka, tetapi yang lebih bermakna ialah melihat senyuman tuan rumah yang jelas menggambarkan rasa syukur dan kegembiraan,” katanya.

Menurut beliau, kegembiraan yang dirasai oleh keluarga yang disantuni menjadi kepuasan sebenar buat seluruh pasukan yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.

“Alhamdulillah, dalam Ramadan ini walaupun usaha yang dilakukan kecil, kami berharap ia dapat menjadi amal kebajikan dan membawa kegembiraan kepada mereka yang menerima,” ujarnya lagi.

Jelasnya lagi, program tersebut turut mencerminkan semangat kerjasama dan keprihatinan kepimpinan Wanita UMNO di peringkat akar umbi dalam memastikan kebajikan masyarakat terus diberi perhatian. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO