ANGKASA, Puteri UMNO Berganding Bantu Masyarakat Sambut Aidilfitri

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Pengerusi Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA), Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah berkata, sumbangan yang diberikan kepada Persatuan Sukarelawan Generasi Anak Muda Kuala Lumpur bersama Puteri UMNO Malaysia diharap dapat membantu meringankan beban golongan yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup ketika ini.

Menurutnya, inisiatif tersebut bukan sahaja bertujuan membantu dari segi keperluan asas, malah turut menceriakan penerima khususnya sepanjang bulan Ramadan dan menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri.

“Jadi sedikit sebanyak sumbangan kepada Persatuan Sukarelawan Generasi Anak Muda Kuala Lumpur bersama Puteri UMNO Malaysia dapat meringankan sikit beban pada mereka yang menghadapi masalah terkesan dengan kenaikan harga barang sekarang. Kita boleh membantu dan boleh menceriakan mereka dalam bulan puasa untuk menyambut hari raya.

“Angkasa membekalkan separuh bantuan daripada bahan-bahan di bawah program yang dianjurkan bersama oleh pertubuhan ini. Ini adalah usaha pihak Angkasa bukan sahaja menyantuni ahli-ahli koperasi, tetapi juga ahli bukan koperasi yang merupakan rakan strategik dengan koperasi dan Angkasa.

“Tujuan ini akan memberi peluang memperkenalkan Angkasa kepada persatuan ini, dan insya- Allah… Angkasa terus menyantuni masyarakat yang memerlukan sokongan daripada semua pihak dan platform koperasi adalah yang terbaik,” katanya kepada UMNO Online.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Lemari Anggun Puteri dan Majlis Penyampaian Bakul Makanan Sempena Menyambut Aidilfitri di Dataran Bintang, bangunan UMNO Bukit Bintang, semalam. 

Turut hadir ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil; Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi; Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin; Exco-exco Puteri UMNO; peserta dan ahli parti.

Mengulas lanjut, Fattah yang juga Timbalan Pengerusi Tetap UMNO mencadangkan kepada Ketua Puteri UMNO Malaysia, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi supaya dapat menubuhkan koperasi di bawah Puteri.

“Saya mencadangkan khususnya kepada Nurul Amal untuk
menubuhkan koperasi dan anggotanya terdiri dari ahli-ahli Puteri UMNO seluruh Malaysia. Ia juga boleh mengikut bahagian dan negeri sebab ‘standard’ menubuhkan koperasi seramai 20 orang peserta.

“Ini penting kerana zaman sekarang banyak masalah ekonomi, sosial yang perlu diselesaikan. Jadi platform terbaik ialah koperasi. Koperasi bukan sahaja ekonomi, tetapi juga menjaga kepentingan dan juga sosial ahli-ahli, lebih prihatin kepada ahli dan juga kepada pemegang saham.

“Jika ada koperasi, banyak perkara yang boleh dilaksanakan termasuk membangunkan ahli-ahli, khususnya Puteri UMNO, dalam kegiatan ekonomi. Sama ada melalui perniagaan secara berkumpulan atau sebagai platform awal untuk melatih mereka menjadi usahawan yang berjaya dan dikenali pada masa hadapan,” jelasnya.

Ujarnya lagi, koperasi boleh dijadikan sebagai medan latihan awal untuk membentuk bakat dan keyakinan dalam kalangan Puteri dan usaha ini diharapkan mampu melahirkan lebih ramai usahawan berjaya pada masa hadapan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO