Rumah Bangsa: Kenyataan Sanusi Perlihat Kegusaran Politik

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang menyifatkan inisiatif Rumah Bangsa sebagai cubaan UMNO untuk kembali menjadi ‘abang besar’ memperlihatkan kegusaran politik beliau.

Ketua Penerangan UMNO Negeri Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, Rumah Bangsa yang diwujudkan oleh UMNO adalah platform untuk membuka ruang dialog, kerjasama demi memperkukuh kestabilan politik dan masa depan negara.

“Kenyataan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor yang menyifatkan inisiatif Rumah Bangsa sebagai cubaan UMNO untuk kembali menjadi ‘abang besar’ adalah satu kenyataan yang memperlihatkan kegusaran politik.

“Ia juga menggambarkan kecenderungan beliau melihat setiap usaha penyatuan melalui lensa persaingan politik semata-mata.

“Hakikatnya, Rumah Bangsa adalah satu gagasan untuk membuka ruang dialog, kerjasama dan penyertaan lebih luas dalam kalangan masyarakat Melayu serta Bumiputera demi memperkukuh kestabilan politik masa depan negara,” katanya menerusi satu kenyataan.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok berkata, kekuatan UMNO terbina daripada sokongan rakyat dan keupayaan menyatukan masyarakat.

“Dalam suasana politik hari ini yang semakin berpecah dan dipenuhi retorik konflik, usaha membina jambatan antara kelompok masyarakat sepatutnya disambut dengan kematangan politik dan bukan ditanggapi sebagai ancaman.

“UMNO tidak pernah mendakwa dirinya sebagai ‘abang besar’ kepada mana-mana pihak. Sejarah panjang parti ini membuktikan bahawa kekuatan UMNO terbina daripada sokongan rakyat dan keupayaannya menyatukan pelbagai kelompok masyarakat dalam kerangka kestabilan negara,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa pintu Rumah Bangsa sentiasa terbuka dan ia tidak sepatutnnya dilihat sebagai ancaman politik.

“Ironinya, ketika tuduhan seperti ini terus diulang, rakyat Kedah sendiri sedang berhadapan dengan pelbagai isu sebenar yang menuntut perhatian dan penyelesaian jauh lebih serius daripada sekadar polemik politik.

“Jika ada pihak yang benar-benar ikhlas mahu memperkukuh kedudukan orang Melayu dan kestabilan negara, pintu rumah ini sentiasa terbuka. Namun, jika setiap usaha penyatuan terus dilihat sebagai ancaman politik, maka persoalannya bukan lagi pada gagasan tersebut, tetapi pada kegusaran pihak yang bimbang kehilangan naratif politik selama ini mereka bangunkan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO