UMNO Sabah Sedia Terima Semula Ahli Dipecat, Digantung
KOTA KINABALU, 13 Mac – UMNO Sabah bersedia menerima semula kemasukan ahli khususnya Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang pernah dipecat, digantung keahlian atau meninggalkan parti.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata beliau senada dengan keputusan yang dilaksanakan oleh kepimpinan tertinggi parti, baru-baru ini.

Beliau berkata, ia adalah inisiatif yang ditetapkan pucuk pimpinan parti semasa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) yang lalu.
“UMNO Sabah juga tidak terkecuali juga bersetuju dengan inisiatif ‘Rumah Bangsa’ untuk membuka pintu kembali kepada ahlinya sama ada yang di gantung ataupun meninggalkan parti.
“Secara jujurnya kami di UMNO Sabah memang terbuka cuma kena ada permohonan yang rasanya kita tidak ada masalah untuk menerima (mereka) semula.
“Apa yang penting mereka yang berhasrat untuk kembali, rujuk balik sebagai penyokong parti UMNO dan juga BN.
“Di Sabah, UMNO adalah sebahagian daripada kerajaan dan di sini, suasana politiknya adalah stabil… tidak ada perlu pergaduhan dan sebagainya,” katanya kepada media selepas Majlis Iftar Ramadan Badan Perhubungan UMNO Sabah, di sini semalam.
Dalam pada itu, Jafry berkata mana-mana ahli di Sabah dipelawa untuk membuka permohonan untuk menyertai semula parti bagi melengkapkan prosedur.

“Perkara ini tidak akan menjadi realiti kalau satu pihak saja (yang bertindak), jadi perlu ada permohonan dan sebagainya. Bermaksud, ahli yang digantung perlu ada permohonan yang mengatakan hasrat untuk kembali dan barulah kita akan proses, itulah prosedurnya.
“Kita ada satu jawatan kuasa yang ditubuhkan untuk menentukan kemasukan semula yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin jadi dia yang akan memutuskan,” katanya. – Bharian.com
