Johor Rekod Pelaburan RM110 Bilion, Limpahan Manfaat Kepada Belia Dan Usahawan – Hairi

KUALA LUMPUR, 13 Mac – Kejayaan Johor mencatat jumlah pelaburan tertinggi dalam sejarah negara dengan nilai RM110 bilion bagi tahun 2025 disifatkan sebagai perkembangan amat positif yang bakal memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi serta kesejahteraan rakyat negeri itu.

Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, pencapaian tersebut bukan sahaja memperkukuh kedudukan Johor sebagai hab ekonomi utama di rantau ini, malah dijangka mewujudkan sebanyak 24,584 peluang pekerjaan baharu untuk Bangsa Johor.

Menurutnya, perkembangan ekonomi yang pesat itu turut memberi kesan langsung kepada sektor di bawah portfolionya termasuk pembangunan belia, sukan dan keusahawanan.

“Syukur Alhamdulillah, Johor terus melakar sejarah apabila mencatat jumlah pelaburan tertinggi dalam sejarah Malaysia. Kejayaan ini bakal membuka peluang pekerjaan baharu serta memberi ruang lebih luas kepada anak muda dan usahawan tempatan untuk berkembang.

“Pengumuman yang dizahirkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, turut membuktikan bahawa Johor kini berada pada landasan pembangunan yang kukuh dengan struktur ekonomi yang semakin matang.

“Menjunjung kasih Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, atas kepimpinan dan visi jauh baginda yang sentiasa menekankan bahawa setiap kemajuan ekonomi negeri mesti diterjemahkan kepada manfaat sebenar buat rakyat Johor,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Hairi yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO Malaysia, menjelaskan perkembangan itu disokong oleh pelbagai inisiatif strategik termasuk pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) yang dilihat mampu memperkukuh kedudukan Johor sebagai pintu ekonomi penting di rantau ini.

“Apabila ekonomi negeri berkembang, kerajaan negeri mempunyai ruang fiskal yang lebih kukuh untuk memperluaskan pelaburan terhadap pembangunan Orang Muda Johor, pembangunan ekosistem sukan serta memperkasakan usahawan tempatan.

“Buktinya pada tahun ini, Kerajaan Negeri Johor telah memperuntukkan RM211.74 juta khusus untuk 55 inisiatif pembangunan Orang Muda Johor, berbanding hanya 49 inisiatif dengan peruntukan sejumlah RM74.2 juta sahaja pada tahun lepas.

“Penambahan inisiaitif ini termasuk dan merangkumi pembangunan bakat, kemudahan sukan, program kepimpinan belia, pembangunan keusahawanan belia serta pengukuhan organisasi belia di seluruh negeri,” katanya lagi.

Beliau menambah selain itu, limpahan pelaburan ini akan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan untuk berkembang melalui rantaian bekalan dan perkhidmatan sokongan kepada syarikat-syarikat pelabur.

“Kehadiran pelaburan berskala besar ini akan mewujudkan permintaan baharu dalam sektor logistik, makanan, penyelenggaraan, teknologi dan perkhidmatan profesional yang boleh dimanfaatkan oleh usahawan Johor untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Melalui peranan Perbadanan Usahawan Johor Sdn. Bhd. (PUJB), Kerajaan Negeri akan terus memperkukuh sokongan kepada usahawan tempatan melalui program pembangunan kapasiti, pembiayaan perniagaan serta pemadanan peluang perniagaan supaya usahawan Johor mampu menjadi sebahagian daripada ekosistem ekonomi baharu yang sedang berkembang pesat di negeri ini,” ujarnya.

Seterusnya kata beliau lagi, bagi peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, limpahan pertumbuhan ekonomi ini turut membuka lebih banyak peluang kepada komuniti setempat untuk mengambil bahagian dalam ekonomi baharu yang sedang berkembang pesat di Johor.

“Peluang pekerjaan baharu, peningkatan aktiviti ekonomi setempat serta pembangunan infrastruktur akan memberi kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat di kawasan bandar seperti Larkin.

“Insya- Allah, Kerajaan Negeri akan terus memastikan setiap pelaburan yang masuk ke Johor bukan sekadar angka dalam laporan ekonomi, tetapi benar-benar diterjemahkan kepada peluang pekerjaan berkualiti, peluang keusahawanan serta masa depan yang lebih cerah untuk Bangsa Johor, khususnya generasi muda,” ujarnya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO