Melaka Komited Wujudkan Satu Daerah Satu Pusat Rehat Penggiat Gig

MELAKA, 12 Mac – Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, menegaskan komitmen Kerajaan Negeri untuk mewujudkan satu pusat rehat bagi penggiat ekonomi gig di setiap daerah di negeri itu.

Perkara tersebut dimaklumkan semasa Majlis Moreh bersama lebih 2,000 komuniti p-hailing dan penggiat gig di Seri Bendahara, semalam.

Menurut beliau, inisiatif ini bertujuan mendekatkan lagi hubungan antara kepimpinan negeri dengan rider serta penggiat gig yang menjadi nadi penting kepada mobiliti dan perkhidmatan moden.

“Pentadbiran kami komited untuk mewujudkan satu daerah satu pusat rehat penggiat Gig, sebagai usaha menyokong kesejahteraan pekerja ekonomi gig. Saya juga menyeru agar komuniti p-hailing dan penggiat gig dapat menyalurkan apa sahaja cadangan, aduan, pandangan, serta isu berkaitan kebajikan supaya ia dapat diangkat di peringkat Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Ab Rauf turut menzahirkan penghargaan terhadap penggiat gig yang kini berjumlah lebih 5,000 orang berdaftar di Melaka, dan menyifatkan perkhidmatan mereka sebagai fenomena baharu yang semakin diterima ramai dalam landskap pekerjaan negara.

“Terima kasih abang-abang dan kakak-kakak rider. Pesan saya, sentiasalah berhati-hati di jalan raya.”

Terdahulu Ab Rauf telah bersama dalam majlis berbuka puasa dengan 450 mahasiswa anak Melaka dari 19 institusi pengajian tinggi yang bertujuan bukan sahaja untuk meraikan Ramadan, tetapi juga memberi peluang kepada pimpinan kerajaan negeri untuk mendengar aspirasi mahasiswa dan memahami cabaran mereka.

Menurut beliau, majlis ini merupakan platform penting untuk berinteraksi secara langsung dengan generasi muda.

“Pelajar adalah aset terbesar negeri Melaka. Kebajikan dan pembangunan anak-anak Melaka, sama ada belajar dalam atau luar negara, sentiasa menjadi keutamaan kerajaan negeri,” katanya.

Dalam majlis tersebut, Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM) telah menyerahkan mock cheque bernilai RM30,000 kepada 12 persatuan mahasiswa anak Melaka daripada 12 institusi pengajian tinggi.

Selain itu, peruntukan Bantuan MeSRa Pendidikan Mahasiswa Anak Melaka turut meningkat kepada RM240,000 pada tahun ini, berbanding RM70,000 tahun lalu.

“Mengambil keberkatan Ramadan, saya ingin umumkan, sebagai tanda kasih sayang kepada mahasiswa anak Melaka, hari ini kerajaan negeri berbesar hati menyediakan duit raya Aidilfitri berjumlah RM45,000 kepada 450 mahasiswa yang hadir.

“Semoga sumbangan ini menambah sinar kegembiraan menjelang Aidilfitri yang berbaki lebih seminggu lagi,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO