Rumah Bangsa Jadi Titik Baharu Penyatuan Melayu Demi Agama, Bangsa dan Negara

SAYA mengikuti dengan penuh minat gagasan Rumah Bangsa yang diketengahkan oleh Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi. Saya menyambut baik dengan penuh rasa syukur dan bangga gagasan Rumah Bangsa yang diketengahkan sempena Perhimpunan Agung UMNO 2025 pada Januari lalu. Bagi saya, ini bukan sekadar satu kenyataan politik biasa. Ini adalah manifestasi jiwa seorang pemimpin yang benarbenar berfikiran jauh, meletakkan kepentingan bangsa di atas segala-galanya, jauh lebih tinggi daripada kepentingan diri, ego atau pertimbangan peribadi.

Apabila Datuk Seri Zahid mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa dan membuka pintu UMNO seluas-luasnya kepada semua bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian… malah kepada mana-mana individu dan kumpulan yang mahu kembali ke pangkuan perjuangan… saya terus terasa getaran semangat itu. Inilah yang selama ini kita nantikan. Inilah tanda kepimpinan yang matang.

Konsep Rumah Bangsa bukan sekadar satu nama indah. Ia adalah falsafah penyatuan yang melampaui sempadan parti, ideologi dan perselisihan lama. Ia adalah seruan untuk semua orang Melayu di mana jua mereka berada, dari parti mana pun mereka datang… untuk kembali ke bawah satu bumbung perjuangan demi Agama, Bangsa dan Negara.

Kita tidak boleh memejamkan mata kepada hakikat bahawa perpecahan orang Melayu telah menjadi luka terbuka yang semakin meruncing. Selama bertahun-tahun, kekuatan politik Melayu telah terpecah-belah kepada pelbagai kem dan sebahagiannya adalah hasil daripada perbezaan ideologi yang tulen, tetapi sebahagian lagi adalah hasil daripada ego peribadi dan konflik kepentingan yang seharusnya tidak berlaku sama sekali.

Sejarah telah membuktikan, apabila orang Melayu berpecah, merekalah yang paling banyak menanggung kerugiannya. Pengalaman negara-negara lain di rantau ini juga mengajar kita bahawa apabila kuasa politik kaum peribumi terpecah-belah tanpa kebijaksanaan untuk bersatu semula, kesannya amat dahsyat dan sukar dipulihkan. Kita tidak mahu menjadi contoh tragedi itu.

Justeru, Rumah Bangsa hadir pada waktu yang paling kritikal dalam sejarah politik semasa orang Melayu. Ia adalah tawaran pengampunan dan perdamaian yang datang dari kepimpinan tertinggi… sebuah undangan yang ikhlas untuk semua pihak melepaskan beban lampau dan bersatu semula demi masa depan yang lebih cerah.

Saya percaya, gagasan ini juga tepat kerana ia melibatkan semua pertubuhan, pakarpakar, ahli akademik dan profesional Melayu. Ini bukan semata-mata tentang rekrutmen ahli parti. Ini tentang membina ekosistem kekuatan Melayu yang menyeluruh tetapi satu platform yang menyatukan pelbagai potensi dan kepakaran demi satu agenda bangsa yang lebih besar.

Gembira saya melihat bahawa Rumah Bangsa mendapat sambutan yang amat menggalakkan sejak diperkenalkan. Permohonan untuk menyertai Jawatankuasa Penyatuan Rumah Bangsa yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin terus mengalir masuk. Semangat Ramadan tahun ini benar-benar memberi warna baharu kepada usaha mulia ini.

Di peringkat akar umbi, ahli-ahli dan warga Melayu sudah lama menantikan momen seperti ini. Mereka tidak mahu lagi melihat pertarungan peribadi antara pemimpinpemimpin yang pernah bersama satu perjuangan. Mereka mahu UMNO kembali menjadi benteng utama yang menjaga kepentingan Islam, orang Melayu dan Bumiputera di negara ini. Namun, saya tidak dapat menyembunyikan rasa kesal dan kekecewaan yang mendalam apabila melihat segelintir individu dari kalangan pembangkang yang memilih untuk menolak uluran tangan murni ini malah ada yang memperolokkan dan mempersendakan gagasan Rumah Bangsa dengan tuduhantuduhan yang tidak bertanggungjawab.

Ada yang menggelar Rumah Bangsa sebagai ‘helah politik’. Ada yang cuba memutarbelitkan niat ikhlas kepimpinan UMNO dengan dakwaan-dakwaan yang tidak berasas. Ada yang berkata ‘tak payahlah’ kembali seolah-olah mereka lebih besar dari kepentingan bangsa itu sendiri. Dan ada pula yang menjadikan isu kerjasama kerajaan sebagai alasan untuk terus memecah-belahkan umat Melayu.

Kepada mereka ini, saya ingin berkata dengan tegas dan penuh hormat: penyatuan Melayu bukan agenda peribadi sesiapa. Ia adalah tanggungjawab setiap pemimpin yang mendakwa memperjuangkan nasib orang Melayu dan Islam. Apabila anda menolak seruan penyatuan ini, hakikatnya anda bukan sahaja menolak UMNO tetapi anda sedang menolak masa depan anak bangsa anda sendiri.

Bagi mereka yang mendakwa Rumah Bangsa adalah ‘retorik kosong’ atau ‘helah politik semata-mata’, saya cabar mereka untuk menjawab soalan yang mudah ini: apakah agenda alternatif yang mereka tawarkan untuk menyatukan orang Melayu? Apakah sumbangan mereka yang lebih besar dan lebih bermakna selain mengeluarkan kenyataan menolak dan mempersoalkan niat orang lain?

Mudah untuk berdiri di luar pagar dan melontar kritikan. Jauh lebih sukar untuk masuk ke dalam arena, merendahkan ego dan berkata: ‘Demi bangsa, saya sanggup melupakan perbezaan lama.’ Inilah yang dilakukan oleh DS Zahid. Inilah yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang berjiwa besar. Soalnya, adakah pengkritik-pengkritik ini mampu berbuat demikian?

Kritikan bahawa UMNO bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam kerangka kerajaan juga perlu dilihat secara matang dan realistik. Dalam alam demokrasi moden, kerjasama politik pasca pilihan raya adalah satu keperluan untuk membentuk kerajaan yang stabil. Yang penting adalah UMNO tidak pernah goyah dalam mempertahankan pendirian Islam dan hak Melayu-Bumiputera. Rekod itu jelas terbukti UMNO telah menentang dengan sekeras-kerasnya sebarang cadangan yang boleh mencabar kedudukan Islam dan hak Melayu, termasuk isu-isu seperti UEC, pilihan raya pihak berkuasa tempatan dan URA.

Saya juga ingin mengingatkan pihak yang mempersoalkan keikhlasan kepimpinan UMNO: adalah lebih mudah untuk mengkritik daripada untuk memimpin. Adalah lebih senang untuk berpecah daripada untuk bersatu. Namun yang diperlukan oleh bangsa ini bukan mereka yang pandai berkata-kata tentang perpecahan tetapi kita perlukan pemimpin yang berani mengambil langkah pertama ke arah perpaduan, walaupun itu bermakna mereka perlu menelan ego mereka sendiri.

Saya yakin sepenuhnya bahawa gagasan Rumah Bangsa ini adalah antara faktor terpenting yang akan menentukan nasib UMNO dan Barisan Nasional dalam Pilihan Raya Umum akan datang. PRU ke-16 bakal menjadi ujian terbesar dan kunci kemenangan kita terletak pada sejauh mana kita mampu menggembleng semua kekuatan di bawah satu panji perjuangan.

Apabila UMNO tampil dengan wajah baharu yang inklusif, terbuka dan bersifat memaafkan sambil tetap teguh mempertahankan Agama, Bangsa dan Negara… inilah formula kemenangan yang sejati. Bukan formula yang bergantung kepada perpecahan lawan, tetapi formula yang berdiri di atas kekuatan dan kepaduan diri sendiri.

Saya menyeru kepada seluruh warga UMNO dan semua anak Melayu yang masih berfikiran waras dan cintakan bangsa: marilah kita sambut Rumah Bangsa ini dengan sepenuh hati. Lupakan perselisihan lama. Maafkan kesilapan yang lalu. Kita ada musuh yang lebih besar untuk ditangani bersama iaitu kemiskinan, kejahilan, perpecahan dan kemunduran yang masih menghantui sebahagian besar umat kita.

Rumah Bangsa bukan sekadar sebuah jawatankuasa atau inisiatif parti. Ia adalah simbol harapan… harapan bahawa orang Melayu masih mampu bersatu apabila pemimpinnya tampil dengan jiwa yang besar, hati yang lapang dan visi yang jauh ke hadapan. Datuk Seri Zahid telah membuka pintu itu. Tugas kita sekarang adalah memastikan pintu itu tidak ditutup semula oleh mereka yang lebih mementingkan ego peribadi berbanding nasib bangsa. Tugas kita adalah memastikan bahawa setiap orang Melayu yang mahu pulang ke Rumah Bangsa ini disambut dengan penuh keikhlasan dan kasih sayang.

Kerana pada akhirnya, kekuatan UMNO adalah kekuatan orang Melayu, dan kekuatan orang Melayu adalah kekuatan negara ini. Marilah kita jaga warisan itu bersama-sama. Demi Agama, Bangsa dan Negara.


TPr Abdul Razak Abdul Rahman
Ketua UMNO Bahagian Kepong

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO