Bantuan Kasih Johor Ringankan Beban Ibu Tunggal, Kukuhkan Semangat Komuniti
JOHOR BAHRU, 12 Mac – Exco Kerajaan Negeri Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor telah menyempurnakan majlis penyerahan Bantuan Kasih Johor (BKJ) kepada penerima yang terdiri daripada ibu tunggal, Penggerak YPKDT dan penerima Anak Makmur Johor di Dewanraya Putra, Bandar Putra, semalam.
Jelasnya, program tersebut merupakan antara usaha berterusan Kerajaan Negeri Johor bagi memastikan kebajikan rakyat terus diberi perhatian, khususnya kepada golongan yang memerlukan sokongan dalam meneruskan kehidupan serta membina masa depan keluarga yang lebih baik.

Pada sesi pagi, bantuan disampaikan kepada 3,282 orang ibu tunggal dari DUN Bukit Batu dan DUN Senai dengan jumlah peruntukan sebanyak RM820,500, sementara itu pada sesi petang, bantuan turut diberikan kepada 571 ibu tunggal dari DUN Bukit Permai.
Dalam majlis yang sama, seramai empat orang Penggerak YPKDT turut menerima penghargaan atas peranan aktif mereka membantu masyarakat di peringkat komuniti, selain 20 penerima Anak Makmur Johor yang turut menerima manfaat daripada inisiatif tersebut.
Menurut Mohd Jafni, golongan ibu tunggal memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan institusi keluarga dan masyarakat.
“Golongan ibu tunggal sebenarnya merupakan antara tulang belakang kepada kekuatan institusi keluarga dalam masyarakat. Dengan ketabahan dan pengorbanan mereka membesarkan anak-anak, mereka bukan sahaja membina masa depan keluarga tetapi turut menyumbang kepada pembentukan generasi masa depan Bangsa Johor,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa peranan Penggerak YPKDT dan penerima Anak Makmur Johor mencerminkan semangat komuniti yang saling membantu antara satu sama lain.
“Apabila masyarakat saling menguatkan dan menyokong antara satu sama lain, maka negeri juga akan menjadi lebih kukuh dan sejahtera,” ujarnya.

Tambah beliau, pelaksanaan inisiatif Bantuan Kasih Johor ini selari dengan komitmen Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi yang sentiasa menekankan bahawa pembangunan negeri perlu diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat.
Mohd Jafni turut memberi jaminan bahawa usaha memastikan bantuan kerajaan sampai kepada rakyat yang memerlukan akan terus diperkasakan.
“Kemajuan negeri hanya bermakna apabila rakyat turut merasai manfaatnya. Kekuatan sebenar Johor bukan hanya pada pembangunan fizikal atau pelaburan semata-mata, tetapi pada kesejahteraan rakyatnya,” katanya lagi. – UMNO Online
