Kerajaan Komited Untuk Terus Perkasa Pekebun Kecil Sawit Melalui Pelbagai Inisiatif
KUALA LUMPUR, 11 Mac – Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad menegaskan bahawa kerajaan komited untuk terus memperkasa pekebun kecil sawit melalui pelbagai inisiatif.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Noraini memaklumkan beliau berkesempatan menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) di Kota Bharu pada Selasa.

“Alhamdulillah, dalam suasana penuh keberkatan Ramadan, saya berkesempatan menghadiri Majlis Berbuka Puasa anjuran MPOB di Kota Bharu. Majlis ini menghimpunkan warga kementerian, agensi dan rakan strategik industri agrikomoditi dalam suasana yang cukup mesra serta penuh ukhuwah.
“Ramadan sentiasa menjadi ruang terbaik untuk kita merapatkan silaturahim. Pertemuan seperti ini bukan sahaja mengeratkan hubungan antara kepimpinan kementerian, warga kerja dan pemegang taruh industri, malah menjadi platform penting untuk kita terus memperkukuh kerjasama dalam memacu pembangunan sektor agrikomoditi negara secara lebih inklusif serta mampan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Malaysia memaklumkan bahawa Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS 2.0) diwujudkan bertujuan untuk membantu meningkatkan produktiviti dan memperkukuh pendapatan pekebun kecil di seluruh negara.

“Dalam ucapan saya, saya turut menekankan komitmen Kerajaan untuk terus memperkasa pekebun kecil sawit melalui pelbagai inisiatif yang telah dirangka.
“Antaranya ialah Skim Insentif Pembiayaan TSPKS 2.0 yang bertujuan membantu meningkatkan produktiviti serta memperkukuh pendapatan pekebun kecil di seluruh negara.
“Majlis ini turut diserikan dengan penyampaian sumbangan bakul makanan kepada para penerima sebagai tanda keprihatinan dan semangat kebersamaan kementerian bersama masyarakat.
“Mudah-mudahan usaha kecil ini menjadi penguat kepada nilai kebersamaan dan keprihatinan dalam membangunkan industri agrikomoditi yang memberi manfaat kepada rakyat,” katanya lagi. – UMNO Online
