Rumah Bangsa: Tengku Azman Seru Kembali Jika Ada Jiwa, UMNO Bukan Parti Politik Biasa
KUALA LUMPUR, 11 Mac – Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin, menegaskan bahawa UMNO bukan sekadar parti politik, tetapi sebuah perjuangan yang berlandaskan jiwa dan nilai ahli-ahlinya.
Justeru beliau menyeru agar sesiapa yang ingin kembali menyertai parti tidak perlu ragu, manakala mereka yang memilih untuk kekal di luar juga dihormati keputusannya kerana semua bermula dengan jiwa.

“Kalau mahu kembali menyertai UMNO, silakan. Jika memilih untuk kekal di luar, itu terpulang kepada masing-masing. Segalanya bermula dengan jiwa.
“Jika seseorang itu tidak mempunyai jiwa perjuangan, tiada apa yang boleh kita lakukan. Tetapi jika ada jiwa perjuangan, dia akan berusaha memperbetulkan keadaan dari dalam, bukannya bertindak mengikut kehendak sendiri,” katanya.
Tengku Azman turut mengingatkan bahawa perbezaan pendapat dalam UMNO adalah perkara biasa dalam amalan demokrasi, namun setiap ketidaksetujuan perlu disalurkan melalui saluran yang betul.
“Melainkan seseorang ada agenda, itu kita tak pasti. Kalau tak bersetuju pun, tak apa. Kita ada adab, ada caranya. Dalam amalan demokrasi biasalah ada juga yang tidak bersetuju dengan presiden, tapi mereka ikut saluran betul. Kita cari jalan tengah, bukan jalan yang nak menghancurkan UMNO.”
Beliau menekankan bahawa pemahaman sebenar tentang UMNO ialah sebagai perjuangan bersama dan bukannya sekadar parti politik biasa.
“Kalau kita faham, UMNO adalah sebuah perjuangan, bukan sekadar parti politik macam yang lain-lain,” katanya.
Tengku Azman berkata demikian susulan beberapa reaksi negatif terhadap langkah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memaklumkan membuka pintu penyatuan tanpa syarat kepada bekas ahli yang pernah dipecat atau digantung keahlian untuk kembali menyertai parti. – UMNO Online
