UMNO Putrajaya Teruskan Tradisi Kebajikan, Santuni Petugas Kesihatan
PUTRAJAYA, 11 Mac – UMNO Bahagian Putrajaya meneruskan tradisi kebajikan sempena Ramadan dengan mengedarkan bubur lambuk kepada kakitangan dan pelawat di lobi Hospital Putrajaya serta menziarahi pesakit yang menerima rawatan di hospital berkenaan.
Ketua Wanita UMNO Putrajaya, Husna Abdul Rahaman, berkata inisiatif ini merupakan kesinambungan tradisi yang dicetuskan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, yang menekankan kepentingan mendekati dan membantu masyarakat.

“Program ini membolehkan kami berkongsi rezeki serta menyantuni masyarakat, khususnya petugas kesihatan dan pesakit di hospital,” katanya.
Beliau menambah bahawa edaran bubur lambuk bukan sahaja simbol perkongsian rezeki tetapi juga platform untuk menghargai komitmen petugas kesihatan sepanjang Ramadan.
Ujarnya, selain pengagihan makanan, rombongan UMNO Putrajaya menziarahi pesakit untuk menyampaikan kata-kata semangat dan doa agar mereka diberikan kesembuhan.

Husna berkata usaha ini mendapat sambutan positif daripada kakitangan hospital dan pelawat, sekali gus memeriahkan suasana Ramadan serta memperkukuh hubungan komuniti.
Program tersebut turut disertai isteri Ketua UMNO Putrajaya, Datin Seri Angraini Sentiyaki, bersama ahli jawatankuasa parti dan sukarelawan. – UMNO Online
