Anak-Anak Yatim Dirai, Majlis Iftar Pererat Ukhuwah UMNO Labuan
LABUAN, 10 Mac – Majlis Iftar Ukhuwah UMNO Bahagian Labuan 2026 telah berlangsung dalam suasana penuh kemesraan dan semangat Ramadan apabila kepimpinan parti bersama masyarakat setempat berkumpul untuk berbuka puasa sambil meraikan anak-anak yatim.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO merangkap Ketua UMNO Bahagian Labuan, Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata majlis tahunan itu menjadi platform penting untuk menghimpunkan kepimpinan UMNO dari lima peringkat organisasi di Labuan dalam suasana ukhuwah dan keberkatan Ramadan.

Menurut beliau, majlis tersebut turut disertai oleh pelbagai pemimpin masyarakat termasuk Ketua-Ketua Kampung, kepimpinan Majlis Belia Labuan, Kelab Rakan Muda Labuan, wakil masyarakat Tiong Hwa dari Kampung Sungai Keling serta beberapa agensi kerajaan yang sentiasa bekerjasama membantu masyarakat di Labuan.
“Keindahan Ramadan dapat dirasai apabila kepimpinan masyarakat daripada pelbagai latar belakang dapat duduk semeja, berbuka puasa bersama dalam suasana penuh harmoni dan persaudaraan,” katanya.
Beliau berkata, seperti tradisi setiap tahun, majlis berkenaan turut memberi perhatian khusus kepada anak-anak yatim di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat Labuan sebagai tanda keprihatinan dan kasih sayang masyarakat terhadap golongan yang memerlukan.
“Melihat senyuman anak-anak yatim pada petang yang penuh keberkatan ini benar-benar menyentuh hati saya. Ramadan mengingatkan kita bahawa inilah masa untuk berkongsi rezeki dan menyantuni mereka yang memerlukan,” katanya.
Tambah beliau lagi, kekuatan sesebuah perjuangan tidak hanya diukur melalui ucapan di pentas politik, sebaliknya melalui keikhlasan pemimpin turun padang dan menyentuh hati rakyat.

“Saya sentiasa percaya bahawa kekuatan sebuah perjuangan bukan hanya diukur melalui kata-kata di pentas politik, tetapi melalui keikhlasan kita turun padang, menyantuni rakyat dan menjadikan setiap usaha membantu masyarakat sebagai satu ibadah,” ujarnya.
Beliau berharap majlis yang diadakan setiap Ramadan itu akan terus menjadi medium mempereratkan ukhuwah dalam kalangan masyarakat Labuan serta mengukuhkan semangat kebersamaan dalam membantu golongan memerlukan. – UMNO Online
