Akses Keperluan Asas Semakin Mudah … MYDIN Mart ke-75 Beroperasi di Bagan Datuk
KUALA LUMPUR, 28 Feb – Untuk memudahkan akses keperluan kepada barangan asas, MYDIN Mart yang ke-75 telah beroperasi di Bagan Datuk.
Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kemudahan tersebut penting kepada masyarakat di kawasan pendesaan.

“Alhamdulillah, MYDIN Mart Bagan Datuk, cawangan ke-75 telah mula beroperasi dan Insya-Allah sedikit sebanyak akan dapat memudahkan penduduk tempatan untuk mendapatkan barangan keperluan harian dengan lebih dekat dan pada harga yang berpatutan.
“Kehadiran kemudahan seperti ini amat penting, khususnya bagi masyarakat di kawasan perdesaan, agar akses kepada keperluan asas menjadi lebih mudah sekali gus merancakkan pergerakan ekonomi setempat,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.
Beliau yang juga Presiden UMNO yakin bahawa pembukaan tersebut akan memberi manfaat kepada rakyat dan menyumbang kemajuan ekonomi komuniti setempat.

“Dalam ucapan perasmian, saya turut mengingatkan bahawa setiap kejayaan perniagaan perlu seiring dengan tanggungjawab sosial, termasuk menyantuni masyarakat, membantu yang memerlukan serta menunaikan kewajipan seperti zakat, kerana di situlah terletaknya keberkatan dan kelestarian sesuatu usaha.
“Sebagai Ahli Parlimen Bagan Datuk, saya mahu rakyat di sini turut menikmati kemudahan yang terbaik tanpa perlu keluar jauh. Insya-Allah, saya yakin pembukaan ini akan memberi manfaat kepada rakyat serta menyumbang kepada kemajuan ekonomi komuniti setempat,” katanya lagi. – UMNO Online
