Kerajaan Tegas Perbaiki Kelemahan Tadbir Urus Berdasarkan Syor Audit – Azalina

KUALA LUMPUR, 24 Feb – Kerajaan memandang serius isu yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar menteri terlibat meneliti isu dibangkitkan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, segala isu yang melibatkan ketirisan, ketidakpatuhan kepada peraturan, tidak mematuhi syarat dan kelemahan dalam perancangan perlu diteliti dan diambil tindakan pembetulan malah seharusnya menjadi pengajaran supaya tidak berulang.

“Semua pihak bersatu hati dan menyokong Kerajaan agar dapatan Audit dan syor yang terkandung dalam laporan tersebut dapat diambil tindakan dengan serius oleh pihak terlibat untuk mengatasi kelemahan yang ditemui daripada terus berlaku. Kerajaan bukan sekadar suatu formaliti membincangkan Laporan Ketua Audit Negara, tetapi melambangkan komitmen Kerajaan terhadap prinsip keterbukaan, akauntabiliti dan tadbir urus berintegriti yang menjadi tunjang dasar Kerajaan MADANI.

“Kerajaan yakin bahawa pembentangan Laporan Ketua Audit Negara tanpa perbahasan yang telus dan terbuka adalah tidak mencukupi, kerana tadbir urus yang baik hanya akan terhasil apabila semua pihak dapat berbahas, memberi pandangan, dan melakukan pengawasan secara kolektif.

“Ketelusan memperkukuh keyakinan awam, bukan sebaliknya. Keterbukaan untuk berdebat adalah manifestasi prinsip asas Kerangka Akauntabiliti MADANI, di mana semak dan imbang dipraktikkan dan bukan sekadar slogan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata dalam konteks tadbir urus dan integriti, Malaysia telah mencatatkan peningkatan dalam Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perceptions Index – CPI) 2025.

“Indeks Persepsi Rasuah (Corruption Perceptions Index – CPI) 2025, Negara kini berada di kedudukan ke-54 daripada 182 negara, dengan menaiki tiga anak tangga berbanding tahun sebelumnya sekaligus menempatkan Malaysia dalam kelompok negara yang menunjukkan momentum pembaharuan positif.

“Peningkatan ini bukanlah suatu kebetulan, tetapi hasil daripada langkah reformasi struktur yang dilaksanakan secara konsisten oleh Kerajaan MADANI dalam memperkukuh akauntabiliti fiskal dan tadbir urus awam.

“Faktor yang menyumbang kepada peningkatan skor CPI ini termasuklah pengenalan akta kewangan dan tanggungjawab fiskal 2023, yang memperkukuh disiplin fiskal serta meningkatkan ketelusan dalam pengurusan kewangan negara.

“Pindaan kepada Akta Audit 1957, yang memperluas bidang kuasa Ketua Audit Negara termasuk terhadap syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC), sekali gus menutup ruang kelompongan pengawasan.” 

Seterusnya kata Azalina, pelaksanaan ketelusan ‘Beneficial Ownershi’p melalui pindaan kepada Akta Syarikat 2016, yang memastikan pemilik manfaat sebenar entiti korporat dikenal pasti dengan jelas bagi mengelakkan penyalahgunaan struktur syarikat

“Penggubalan Akta Perolehan Kerajaan 2025 serta pindaan kepada Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 pada tahun 2025, yang bertujuan memperkukuh integriti dalam perolehan awam serta melindungi individu yang tampil mendedahkan salah laku.

“Perbahasan yang berterusan dan terbuka terhadap Laporan Ketua Audit Negara di Dewan yang mulia ini, yang mencerminkan budaya pengawasan demokratik dan komitmen terhadap semak dan imbang secara ‘institutional,” ujarnya.

Jelasnya lagi, kesemua langkah ini membuktikan bahawa peningkatan CPI bukan sekadar perubahan persepsi, tetapi cerminan terhadap reformasi sistemik yang sedang berjalan.

“Ia menunjukkan bahawa pendekatan keterbukaan, ketelusan, dan keberanian untuk membenarkan penelitian awam termasuk melalui perbahasan LKAN serta memberikan hasil yang nyata,” tegasnya. – UMNO Online


Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO