Pendekatan Menyeluruh Pastikan Pertumbuhan Ekonomi Lebih Mampan – Shahar Abdullah
KUALA LUMPUR, 24 Feb – Kerajaan komited untuk memastikan Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi dalam tempoh pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan pendekatan yang lebih menyeluruh dan berteraskan kesejahteraan rakyat.
Timbalan Menteri Ekonomi, Mohd Shahar Abdullah berkata, pengukuran kejayaan negara berpendapatan tinggi memerlukan pendekatan lebih luas termasuk penciptaan pekerjaan berkemahiran tinggi, peningkatan pendapatan isi rumah serta keberkesanan dasar dalam mengurangkan ketidaksamaan antara wilayah dan kumpulan rentan.
“Pelaksanaan pendekatan yang lebih menyeluruh di bawah kerangka Ekonomi MADANI dan RMK13 akan dapat merealisasikan hasrat negara untuk mendepani cabaran struktur ekonomi ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi. Penekanan berterusan akan dilaksana ke arah usaha untuk melonjakkan produktiviti dan memperkukuh kerencaman ekonomi melalui penghasilan produk dan perkhidmatan ‘Made by Malaysia’ yang bernilai tinggi.
“Fokus utama, antaranya dengan memacu industri HGHV serta sektor strategik seperti teknologi AI, reformasi semikonduktor dan peralihan tenaga bersih. Pelaksanaan reformasi pasaran buruh akan diteruskan, antaranya, melalui semakan semula penetapan gaji minimum secara berkala dengan mengambil kira konsep gaji kehidupan wajar dan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif (DGP).
“Langkah ini penting bagi memastikan pekerja memperoleh pendapatan yang mencukupi untuk menampung kos sara hidup sebenar dan meningkatkan kualiti hidup seiring dengan pertumbuhan pendapatan negara,” katanya.
Beliau menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai yang
menyatakan bahawa walaupun Malaysia berhasrat untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi sebelum tahun 2030, ketidaksamaan pendapatan yang masih ketara berpotensi menjejaskan matlamat kemakmuran bersama.
Mengulas lanjut, Shahar yang juga Ahli Parlimen Paya Besar menjelaskan, Kerajaan mempergiatkan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat berdasarkan pendekatan pengukuhan pembangunan terangkum dari perspektif pelbagai dimensi ke arah meningkatkan tahap mobiliti sosial rakyat.
“Kerajaan telah dan sedang melaksanakan beberapa strategi, termasuk menangani isu pengurusan kos sara hidup, kemiskinan dan kesenjangan serta menambah baik perlindungan sosial bagi jangka masa pendek, sederhana dan panjang.
“Tumpuan akan diberikan dalam aspek pendidikan, kesihatan, perumahan serta peluang pekerjaan berkualiti dan peningkatan pendapatan isi rumah bagi meningkatkan kesejahteraan taraf hidup di bawah pendekatan keseluruhan negara,” katanya lagi.
Tambah Shahar, Kerajaan juga komited melaksanakan reformasi pendidikan yang menyeluruh melalui pemerkasaan bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta penambahbaikan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
“Kerajaan komited melaksanakan reformasi STEM, TVET dan pendekatan ini akan memastikan modal insan negara kompetitif dan berpeluang menguasai kemahiran teknikal yang sejajar dengan keperluan industri HGHV, sekali gus merapatkan jurang kemahiran serta menjamin perolehan pendapatan yang lebih bermaruah,” ujarnya. – UMNO Online
