SKM Tetapkan Kriteria, Bantu Galakkan Koperasi Terus Berkembang – Mohamad Alamin

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) telah menetapkan kriteria dan syarat yang perlu dipatuhi oleh koperasi yang memohon penyediaan insentif dan kemudahan pembiayaan kepada koperasi termasuklah pematuhan kepada Akta Koperasi 1993 dan keupayaan koperasi untuk membayar balik pembiayaan

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin berkata secara umumnya, kriteria yang ditetapkan ini adalah penting bagi memastikan hanya koperasi yang benar-benar bersedia dan menunjukkan komitmen, diberi bantuan untuk mengembangkan perniagaan oleh SKM.

“KUSKOP dan SKM telah menetapkan dasar berkaitan penyediaan insentif dan kemudahan pembiayaan kepada koperasi bagi memastikan dana awam digunakan secara berhemah, berintegriti dan memberi manfaat yang optimum kepada anggota KUSKOP.

“Melalui SKM ianya menyediakan kemudahan pembiayaan melalui Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM) dan geran Bantuan Pembangunan Perniagaan yang bertujuan untuk menyokong keperluan modal pusingan koperasi dan pembelian aset, hartanah, jentera atau kenderaan bagi memperkukuh pelaksanaan aktiviti ekonomi dan keupayaan operasi perniagaan sedia ada.

“Bagi tahun 2025, sebanyak 66 koperasi telah diluluskan pembiayaan TMPSKM berjumlah RM75.32 juta manakala 78 koperasi telah diluluskan geran Bantuan Pembangunan Perniagaan berjumlah RM8.59 juta,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu, Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Roslan Hashim meminta Menteri Pembangunan Usahawan Dan Koperasi menyatakan bagi Koperasi yang gagal menunjukkan prestasi yang baik adakah pihak Kementerian bersedia menghentikan pembiayaan walaupun berulang kali menerima bantuan.

Mohamad Alamin seterusnya menambah SKM akan sentiasa menilai dan membuat pemantauan ke atas koperasi yang mendapat kemudahan ini bagi memastikan setiap pembiayaan dan geran yang disalurkan mencapai objektif pembangunan koperasi secara menyeluruh dan berkesan.

“Koperasi yang menerima kemudahan pembiayaan tetapi gagal menunjukkan prestasi bayaran balik yang memuaskan adalah tidak layak untuk dipertimbangkan bagi pembiayaan baharu. Sebarang tunggakan pembiayaan juga akan dituntut dan diambil tindakan perundangan sewajarnya

“Manakala koperasi yang menghadapi masalah prestasi akan dibantu melalui khidmat nasihat, tawaran penjadualan semula dan penstrukturan pembiayaan serta latihan pengurusan bagi memperkukuh keupayaan tadbir urus dan operasi koperasi tersebut,” tambahnya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO