KKDW Giat Tangani Migrasi Belia Desa Melalui TVET
KUALA LUMPUR, 4 Feb – Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memaklumkan pihaknya melaksanakan pelbagai inisiatif bagi menangani isu penghijrahan belia luar bandar antaranya melalui pelaksanaan Program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Beliau yang juga Presiden UMNO berkata Program TVET di bawah KKDW dilaksanakan secara strategik menerusi 281 institusi TVET di bawahnya seperti TVETMARA, GIATMARA, Akademi Kemahiran KEMAS, Kolej Universiti Agrosains Malaysia, Institut Kemahiran Tinggi PERDA dan Kolej KEDA.
“Ia dilaksana melalui penawaran lebih 580 kursus berasaskan kemahiran praktikal, dengan enrolmen semasa melebihi 80,000 pelajar dan sehingga 31 Disember 2025 seramai 24,000 graduan telah menamatkan pengajian masing-masing.
“Latihan kemahiran di bawah TVET ini diselaraskan dengan potensi ekonomi tempatan termasuk sektor agro-industri, pembinaan, perkhidmatan dan penyelenggaraan teknikal serta perusahaan mikro dan kecil.
“Melalui pendekatan ini, belia desa dilengkapkan sebagai tenaga kerja mahir dan teknousahawan yang mampu membina kerjaya sendiri,” katanya ketika penggulungan Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat hari ini.
Menyentuh berkenaan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026, beliau berkata KKDW memperkenalkan Program Desa Kirana di 25 lokasi tumpuan dengan pakej pelancongan desa berasaskan warisan, alam semula jadi, gastronomi, produk tradisional dan aktiviti bersama-sama komuniti.
Menurut beliau ia juga disokong infrastruktur digital PKD bagi menarik minat digital nomad untuk memilih desa sebagai tempat menetap yang dijangka meningkatkan sosioekonomi penduduk yang terlibat dengan sasaran 100,000 pengunjung.
Tambahan daripada itu kata beliau, KKDW juga menyediakan banyak peluang pekerjaan bagi masyarakat desa, termasuk belia, antaranya melalui program ekonomi berkelompok seperti Projek Bersepadu Pembangunan Ekonomi Kampung (PROSPEK) yang mengoptimumkan tanah terbiar dan Program Desa Lestari (DL) yang memperkasa koperasi komuniti dan ekonomi lokal.
“Sejak pelaksanaan PROSPEK mulai tahun 2018 hingga sekarang, sebanyak 31 projek telah diluluskan pelaksanaannya. Jumlah keseluruhan peruntukan adalah sejumlah RM197.2 juta yang telah berjaya mewujudkan 2,953 peluang pekerjaan baharu dengan seramai 87,000 penerima manfaat.
“Secara purata, peningkatan purata pendapatan peserta PROSPEK adalah dalam julat RM1,000 hingga RM4,000. Sehingga 2025 melalui Desa Lestari, sebanyak RM191.5 juta telah diluluskan untuk 174 koperasi komuniti, dengan 80.9% koperasi mencatat kenaikan pendapatan kasar minimal 5%, mencipta 5,659 pekerjaan, dan memberi manfaat kepada 102,310 penduduk desa.
“Bagi mempercepatkan pembangunan kawasan kurang membangun dan menyeimbangkan kemajuan ekonomi wilayah terutamanya bagi Rancangan Malaysia Ke-13, Pihak Berkuasa Koridor dan Lembaga Kemajuan Wilayah telah menjalinkan kerjasama strategik merentas wilayah.
“Sebanyak 15 projek berimpak tinggi dikenal pasti antaranya PERDA Halal Park, Hub Pelancongan Tasik Kenyir KETENGAH dan KESEDAR Food Valley. Jalinan Kerjasama ini dijangka akan mewujudkan 5,621 peluang pekerjaan, meningkatkan ekonomi setempat sebanyak RM142.45 juta setahun, memberi manfaat kepada lebih 582,000 usahawan dan pelancong, serta mengurangkan migrasi luar bandar sehingga 30 peratus,” ujar beliau. – UMNO Online
