Kerajaan Perkukuh Pelan Intervensi Pacu Ekonomi Sabah – Mohd Shahar
KUALA LUMPUR, 28 Jan – Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, pelbagai langkah intervensi sedang dilaksanakan bagi merapatkan jurang pembangunan antara wilayah, sejajar dengan aspirasi Ekonomi MADANI.
Menurut beliau kerangka Ekonomi MADANI diperkenalkan bertujuan menstruktur semula ekonomi Malaysia termasuk ekonomi Negeri Sabah, manakala pelaksanaan pembangunan dalam tempoh separuh kedua Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) ditumpukan kepada usaha merealisasikan aspirasi tersebut dan seterusnya diperkukuh di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13).
Menurut beliau, komitmen Kerajaan terhadap Sabah dalam tempoh RMK12 dizahirkan melalui beberapa langkah utama, antaranya penyelesaian 13 tuntutan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk penyerahan kuasa kawal selia elektrik kepada Kerajaan Sabah, pengiktirafan Jabatan Teknik Sabah serta pelantikan wakil Kerajaan Sabah sebagai anggota tetap Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Selain itu, Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah turut dinaikkan secara signifikan daripada RM26.7 juta kepada RM600 juta pada tahun 2025, manakala sebanyak RM28.64 bilion diperuntukkan bagi pelaksanaan projek pembangunan ekonomi asas di negeri tersebut.
“Bagi tempoh Januari hingga September 2025, jumlah pelaburan yang diluluskan di Sabah bernilai RM11.91 bilion, merangkumi RM5.29 bilion pelaburan domestik dan RM6.62 bilion pelaburan asing. Dalam sektor agromakanan pula, sebanyak RM156.72 juta pelaburan telah dijana oleh syarikat yang menerima insentif kementerian bagi tempoh 2020 hingga 2025,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Ahli Parlimen Semporna meminta Menteri Ekonomi menyatakan pelan intervensi khusus untuk memacu semula KDNK Sabah yang mencatatkan pertumbuhan 1.1% pada tahun 2024 berbanding 5.1% di peringkat nasional bagi memastikan jurang ekonomi antara wilayah tidak semakin melebar.
Shahar seterusnya menambah, Sabah turut mencatat pencapaian dalam ekonomi hijau apabila penjualan lebih 20,000 tan karbon dioksida setara daripada Projek Pemuliharaan Hutan Hujan Kuamut dilaksanakan melalui Bursa Carbon Exchange, selain peningkatan petunjuk sosioekonomi dengan pendapatan purata isi rumah Anak Negeri Sabah meningkat daripada RM5,087 pada tahun 2019 kepada RM5,836 pada tahun 2024.
Dalam aspek infrastruktur pula jelasnya, sebanyak 301.86 kilometer jalan luar bandar telah siap dibina oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah sehingga Disember 2025.
“Berpandukan prinsip Ekonomi MADANI yang menekankan pembangunan terangkum dan konsep tiada siapa yang ketinggalan, Kerajaan memberi tumpuan kepada keseimbangan pembangunan antara wilayah bagi memastikan rakyat di Sabah turut menikmati limpahan pembangunan secara adil dan setimpal.
“Di bawah RMK13, pembangunan Sabah akan dipacu melalui peningkatan akses kesihatan dan perumahan, penciptaan kekayaan, transformasi digital, penggunaan teknologi maju termasuk kecerdasan buatan (AI), pemerkasaan TVET serta reformasi pasaran buruh. RMK13 turut memberi keutamaan kepada industri berpertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (High Growth High Value – HGHV) serta sektor strategik seperti pelancongan, perkhidmatan global, ekonomi jingga dan kewangan,” katanya.
Katanya lagi Sabah juga dikenal pasti sebagai hab ekonomi biru dengan potensi besar, selain penerokaan zon ekonomi khas termasuk zon pengeluaran makanan berdasarkan kelebihan dan potensi setempat, sejajar aspirasi Made by Malaysia.
“Bagi tahun 2026, peruntukan pembangunan untuk Sabah ditingkatkan kepada RM6.9 bilion, iaitu kenaikan 13.8 peratus berbanding tahun sebelumnya, melibatkan projek utama seperti Pusat Jantung Sabah di Kota Kinabalu, Jalan Kalabakan–Simanggaris, Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B serta Projek Air Sabah.
“Kerajaan menegaskan usaha bersepadu di bawah RMK13 akan terus diperkukuh bagi memastikan semua inisiatif pembangunan dilaksanakan secara menyeluruh dan bersasar, agar potensi ekonomi Sabah dapat digembleng sepenuhnya demi kesejahteraan rakyat secara inklusif dan mampan,” ujarnya. – UMNO Online
