Ketidaktentuan Kadar Tarif AS, MITI Ambil Langkah Proaktif – Johari Ghani
KUALA LUMPUR, 27 Jan – Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (Agreement on Reciprocal Trade – ART) bukanlah perjanjian biasa tetapi bersifat unilateral.
Demikian jelas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menerangkan bahawa sebaik sahaja Amerika Syarikat mengenakan tarif dengan kadar yang tinggi iaitu 24 peratus pada 2 April 2025, Malaysia telah memulakan rundingan bersama negara terbabit.

“Ketidaktentuan mengenai kadar tarif ini akan menyebabkan persekitaran pelaburan yang tidak kondusif bagi Malaysia dan berkemungkinan mendorong pelabur-pelabur asing untuk menghentikan operasi mereka di Malaysia serta memindahkan operasi ke negara lain yang dikenakan tarif yang lebih rendah.
“Kesannya, perniagaan industri kecil dan sederhana tempatan yang membekalkan perkhidmatan dan barangan kepada syarikat-syarikat Multi National Company (MNC) tersebut akan terjejas dan seterusnya sebilangan besar rakyat akan kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan.
“MITI bersama agensi-agensinya seperti MATRADE dan MIDA, dibantu oleh MIDF Research, sedang melaksanakan CBA bagi ART. Tumpuan khusus akan diberikan kepada kesan eksport negara kepada Amerika Syarikat yang bernilai RM233.1 bilion dan lebihan dagangan bernilai RM98.7 bilion,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Putrajaya, Dr Radzi Jidin yang bertanya adakah Kerajaan telah melaksanakan analisis kos-faedah secara terperinci sebelum menandatangani ART dengan Amerika Syarikat dan agensi manakah yang terlibat melaksanakan analisis tersebut; dan adakah Kerajaan boleh merunding semula klausa di dalam ART dan apakah kesan sekiranya Kerajaan berhasrat untuk menamatkan perjanjian tersebut.
Mengulas lanjut, Johari yang juga Naib Presiden UMNO menambah bahawa Malaysia masih belum menerima sebarang pemberitahuan rasmi daripada Amerika Syarikat berhubung garis masa bagi meratifikasi ART.
“Malaysia belum lagi menerima notis atau pemberitahuan rasmi daripada Amerika Syarikat mengenai garis masa untuk meratifikasi ART. Kerajaan sedang meneliti semula intipati ART bagi memastikan kepentingan ekonomi negara terpelihara dan mengurangkan risiko kepada perdagangan negara.
“Oleh kerana pengenaan tarif unilateral adalah hak prerogatif Amerika Syarikat, penamatan ART akan mewujudkan persekitaran ekonomi yang tidak tentu dan tidak stabil,” katanya lagi. – UMNO Online
