COC ASEAN-China Kerangka Penting Kekalkan Keamanan Laut China Selatan – Mohamad Hasan
KUALA LUMPUR, 22 Jan – ASEAN melihat Kod Tatalaku (Code of Conduct, COC) sebagai antara instrumen utama bagi mengurus dan memastikan kestabilan serta keamanan di Laut China Selatan, kata Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Beliau berkata, terdapat dua dokumen asas yang menjadi rujukan ASEAN dalam mengurus kawasan strategik itu, iaitu Deklarasi Tatalaku (Declaration of Conduct, DOC) yang dimeterai pada 2002 serta COC yang kini sedang dimuktamadkan.

Menurutnya, DOC diwujudkan sebagai langkah awal memandangkan situasi ketika itu masih belum sesuai untuk memuktamadkan COC sepenuhnya.
“Laut China Selatan pada asalnya merupakan kawasan yang aman dan tenang, namun kini menjadi semakin sibuk serta menarik perhatian pelbagai pihak, termasuk berlakunya pertindihan kawasan.
“Oleh itu, negara-negara ASEAN bersetuju untuk mewujudkan satu kerangka tatalaku bagi mengurus situasi ini dengan lebih teratur dan bertanggungjawab,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO menjelaskan, antara teras utama DOC dan COC ialah prinsip serta objektif tatalaku di Laut China Selatan, langkah membina keyakinan (confidence building measures) untuk menjamin keamanan dan kebebasan laluan, serta prinsip kawalan kendiri (self-restraint) bagi mengelakkan sebarang tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan.
Mengulas perkembangan terkini, beliau berkata Malaysia telah dilantik sebagai Country Coordinator ASEAN–China bagi tempoh tiga tahun sehingga 2027, sekali gus memainkan peranan penting dalam proses rundingan COC.
“Malaysia terlibat secara langsung dalam Jawatankuasa Pegawai Kanan ASEAN melalui Senior Officials’ Meeting on Code of Conduct (SOM on COC) dan setakat ini, kemajuan rundingan amat memberangsangkan.
“Kita menjangkakan COC dapat diselesaikan dan dimuktamadkan pada tahun ini memandangkan banyak terma dalam dokumen tersebut telah mendapat persetujuan daripada pihak terlibat,” katanya.
Namun beliau menegaskan bahawa COC bukanlah instrumen untuk menyelesaikan isu pertindihan kawasan tuntutan.
“Pertindihan kawasan perlu diselesaikan secara dua hala atau pelbagai hala. COC berfungsi sebagai kerangka bagi memastikan Laut China Selatan kekal sebagai kawasan yang aman, selamat, bebas dan terbuka untuk perdagangan serta pelayaran antarabangsa,” katanya lagi.
Dalam hal ini, Malaysia turut mengadakan Rapid Discussion Group melalui Joint Working Group (SOM on COC) bagi mempercepatkan proses perbincangan dan penyelarasan.
Menyentuh isu Batu Puteh, Mohamad Hasan berkata Malaysia mematuhi sepenuhnya keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 2008 dan meneruskan rundingan dengan Singapura secara berterusan.
“Kedua-dua negara mempunyai mekanisme rundingan melalui Annual Leaders’ Retreat bagi membincangkan penyelesaian sempadan maritim secara berhemah.
“Asas perundingan ini adalah memastikan kedaulatan negara tidak terjejas serta mengekalkan hubungan baik antara Malaysia dan Singapura,” katanya. – UMNO Online
