ART Malaysia–AS Masih Dalam Proses Ratifikasi, Keputusan Berlandaskan Kepentingan Negara – Johari

KUALA LUMPUR, 21 Jan – Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata keputusan Kerajaan untuk memeterai perjanjian Agreement on Reciprocal Trade (ART) ini adalah hasil pertimbangan yang menyeluruh dan berlandaskan kepentingan ekonomi negara.

Menurut beliau Kerajaan juga ingin menjelaskan bahawa pada masa ini proses ratifikasi masih berjalan dan belum selesai, dan ini bermakna ART antara Malaysia dan Amerika Syarikat masih belum berkuatkuasa.

“Malaysia sebagai sebuah ekonomi terbuka yang bergantung kepada perdagangan dan pelaburan antarabangsa, perlu mengambil langkah yang bersesuaian dengan keperluan dan kepentingan nasionalnya.

“Penglibatan Malaysia dalam ART adalah bertujuan untuk memastikan akses pasaran yang berterusan dan stabil ke Amerika Syarikat yang merupakan antara rakan dagang dan destinasi pelaburan utama negara. Sebagai contoh, nilai eksport produk Malaysia ke Amerika Syarikat adalah RM167.2 bilion pada tahun 2022, RM161.3 bilion pada tahun 2023 dan RM198.6 bilion pada tahun 2024, manakala RM233 bilion dianggarkan pada 2025.

“Perjanjian ini juga berfungsi sebagai mekanisme penting untuk mengurangkan risiko pengenaan tarif timbal balas yang lebih tinggi ke atas eksport Malaysia ke pasaran Amerika Syarikat, yang berpotensi menjejaskan daya saing produk tempatan, kedudukan negara dalam rantaian bekalan global, serta peluang pekerjaan rakyat dalam jangka masa panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Bin Zainudin meminta Menteri Pelaburan, Perdagangan Dan Industri menyatakan apakah kedudukan Malaysia dalam pelaksanaan dan komitmen terhadap Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) jika dibandingkan dengan negara-negara Asia Tenggara yang masih belum menandatangani atau meratifikasi perjanjian tersebut dan apakah justifikasi Kerajaan untuk meneruskan perjanjian ini walaupun terdapat negara serantau yang memilih untuk tidak berbuat demikian.

Menjawab soalan tambahan daripada Larut, Johari seterusnya memaklumkan perjanjian berkenaan bukanlah perkara baru dari segi FTA untuk ekonomi.

“Sebenarnya sebagai respon negara, kita telah tandatangani 17 FTA. 17 FTA ini, sembilan melibatkan regional FTA, dan lapan adalah bilateral. Jadi dalam konteks USA, saya difahamkan bahawa negosiasi yang berlaku ini ia bukan muktamad. Dia macam kita bincang dalam FTA mana-mana FTA yang kita dah buat. Pada tahun 1993, kita ada satu FTA yang kita tandatangan, 2003 ada, 2006 ada, 2009 ada, 2010 ada, 2019 ada. Ini bukanlah perkara yang baru dalam segi FTA untuk ekonomi.

“Jadi apabila saya melihat ART ini sudah tentu, saya melihatkan ada banyak perkara-perkara yang perlu kita tengok dan kita bincang untuk kita meletakkan agreement sebelum kita ratify agreement secara final, kita mesti define soal-soal isu-isu yang berbangkit yang menyebabkan ada salah anggap, contohnya membabitkan kedaulatan negara-negara dan juga kepentingan negara dan sebagainya. Itu saya ambil maklum.”

Tambahnya lagi sebelum ini perbincangan berkenaan lebih ‘centered’ kepada ekonomi dan dengan adanya ratification process terbabit , maka peluang berkenaan digunakan sepenuhnya untuk berbincang dan ‘redefine’ balik apa maksud yang terlibat.

“Saya beri satu contoh… ‘You’ dah ‘sign’ dengan saya, kita dengan US, kemudian mana-mana negara saya tak suka, ‘you’ kena ikut. Tak… jadi konteksnya adalah, dia tidak mahu ada diskriminasi kepada mereka sekiranya kita bawa investor baru.

“Jadi kalau ada diskriminasi, maka kita kena datang lagi ke pihak oang yang dah datang awal daripada kita, macam di Pulau Pinang banyak investment yang berlaku oleh US, lepas itu kita bawa lagi satu negara datang dan kita bagi dia all the better incentive than them, then dia rasa macam dia terjejas. Jadi perkara-perkara ini yang perlu kita ‘define’ supaya kita tidak ada perbezaan dari segi konteks ekonomi.

“Sebab kita kena faham, US adalah sebuah negara yang punya size ekonomi 31 trillion. The second one China, 19 trillion. Jadi sudah tentu kalau kita boleh ‘accommodate’ semua orang, how come number one economy in the world, 31 trillion, kita tak boleh duduk dan bincang. Tetapi kalau soal kedaulatan, saya rasa kita semua, bukan sahaja di sini dan di sana, kita semua akan pastikan bahawa tidak ada orang nak ambil Malaysia ini dengan bayar 19% sahaja.- UMNO Oline

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO