Sri Rahayu Tekankan PAU 2025 Sebagai Teraju Kesepakatan, Perkasa UMNO

KUALA LUMPUR, 12 Jan – Ketua Wanita UMNO Pasir Salak, Datin Sri Rahayu Tajuddin menegaskan bahawa Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 bukan sekadar medan bersidang, sebaliknya merupakan platform penting untuk memperkukuh parti agar kembali menjadi teraju negara.

Menurut beliau, ahli-ahli UMNO perlu memanfaatkan peluang dan memegang peranan strategik dalam meneruskan amanah perjuangan, selaras dengan aspirasi dan agenda parti.

“Kita tidak berhimpun sekadar untuk bersidang, tetapi untuk meneruskan amanah perjuangan malah menjadi tugas kita selaku ahli-ahli parti bagi meneruskan usaha membina generasi dan menggerakkan kesatuan berpaksikan agenda UMNO. PAU inilah medan kita bersuara, dan inilah masanya kita tampil sebagai parti yang semak dan imbang,” katanya kepada UMNO Online.

Sri Rahayu menegaskan, menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16), ahli-ahli UMNO perlu tampil dengan keberanian dan keyakinan untuk memainkan peranan lebih aktif.

Beliau menekankan pentingnya memahami asas perjuangan UMNO yang berpaksikan agama, bangsa dan negara sebagai senjata hujah bagi memperkukuh kedudukan parti di mata rakyat.

“Jadikan asas perjuangan kita sebagai kekuatan, sebagai senjata hujah dan paksi untuk meneruskan langkah ke hadapan. Kenangilah pengorbanan kepimpinan terdahulu, ingatlah ketabahan mereka yang bersama meletakkan UMNO sebagai satu-satunya parti pelopor perjuangan nasionalisme, menuntut kemerdekaan lantas kita berjaya membawa pembangunan.

“Kita pernah jatuh tapi kita tak pernah mengalah dan dengan kekuatan itulah, kita bangkit mempertahankan masa depan bangsa dan negara,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan bahawa penglibatan aktif ahli-ahli UMNO khususnya golongan wanita membuktikan bahawa mereka bukan sekadar pemerhati, tetapi agen perubahan dalam menentukan hala tuju parti.
“Inilah masanya untuk kita khususnya Wanita UMNO bersuara, menyuarakan aspirasi rakyat, dan memastikan parti terus relevan serta mampu mengekalkan mandat rakyat.”

Beliau menambah, Wanita UMNO bukan sahaja berperanan dalam parti, tetapi juga sebagai penggerak kesejahteraan rakyat di peringkat akar umbi.

“Kecekalan, ketabahan, dan dedikasi wanita UMNO perlu dilihat sebagai tonggak dalam memastikan parti terus relevan dalam landskap politik negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO