Hak 40 Peratus Sabah: Rundingan Berperlembagaan dengan Keputusan Bermasa
1. Hak 40 peratus Sabah adalah hak Perlembagaan yang diperuntukkan di bawah Perkara 112C, 112D dan Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.
2. Di Sabah, wujud kesepakatan umum bahawa hak ini mesti dilaksanakan. Isu sebenar hari ini bukan soal prinsip, tetapi soal tafsiran dan pelaksanaan.
3. Perlembagaan menyatakan bahawa pelaksanaan tertakluk kepada kedudukan kewangan Persekutuan. Frasa ini tidak memansuhkan hak Sabah, sebaliknya hanya memberi kelonggaran dari segi masa dan kaedah pelaksanaan.
4. Hak Perlembagaan tidak boleh dinafikan atau dikurangkan melalui tafsiran sepihak atau keputusan pentadbiran.

5. Persoalan utama ialah siapa yang menentukan kedudukan kewangan Persekutuan dan asas pengiraan hak 40 peratus tersebut.
6. Perlembagaan menyediakan mekanisme apabila berlaku perbezaan tafsiran, termasuk penilaian bersama dan pelantikan assessor.
7. Ini menunjukkan bahawa rundingan adalah sebahagian daripada proses Perlembagaan, namun rundingan tersebut mesti berprinsip, tersusun dan berfokus kepada hasil.
8. Memandangkan Sabah Law Society terlibat secara langsung dalam menuntut hak ini melalui proses mahkamah, adalah wajar dan munasabah untuk mereka dilibatkan dalam proses perundingan.
9. Rundingan tidak seharusnya terhad kepada saluran pentadbiran semata-mata seperti Ketua Setiausaha Negara dan Setiausaha Kerajaan Negeri.
10. Proses perundingan mesti mempunyai tempoh masa yang jelas supaya tidak dilihat sebagai taktik melengah atau sekadar menenangkan sentimen awam.
11. Rundingan yang berlarutan tanpa hasil konkrit bercanggah dengan semangat Perlembagaan dan prinsip tadbir urus yang baik.
12. Konsep “pembayaran interim” hanya boleh bersifat sementara dan tidak boleh dijadikan pengganti kepada penyelesaian muktamad.
13. Pembayaran interim tidak boleh menggantikan kewajipan untuk memuktamadkan jumlah sebenar, kaedah pelaksanaan dan penyelesaian tunggakan.
14. Oleh kerana perkara ini melibatkan hak Perlembagaan Sabah, sebarang keputusan muktamad wajar dibentang, dibahaskan dan dipersetujui melalui wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri.
15. Kesimpulannya, pelaksanaan hak 40 peratus Sabah mesti melalui proses Perlembagaan yang telus, berjangka masa dan menghasilkan keputusan yang adil, diyakini dan muktamad.

