Peningkatan Pelawat China Tinggal Lebih Tempoh Membimbangkan – Shamshulkahar

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Ahli Parlimen Jempol, Datuk Shamshulkahar Mohd Deli menyifatkan peningkatan ketara kemasukan pelawat terutama dari China sebagai sesuatu yang membimbangkan, susulan kelonggaran visa.

Menurut beliau, keadaan ini berisiko membawa kepada pelawat tinggal secara tidak sah selepas tamat tempoh lawatan.

“Aliran masuk yang besar ini memerlukan sistem kawalan yang berkesan bagi mengekang kegiatan tidak bermoral dan eksploitasi buruh.

“Berdasarkan data Kementerian Dalam Negeri, daripada 8.49 juta pelancong China yang memasuki Malaysia sejak 2018.

“Daripada jumlah ini, YB Menteri KDN memaklumkan seramai 84,817 disyaki masih berada dalam negara melebihi tempoh dibenarkan,” katanya.

Shamshulkahar berkata demikian ketika perbahasan Rang Undang-undang Akta Imigresen (Pindaan) 2025 (Akta 155) di Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu beliau turut meminta penjelasan berkenaan faktor utama pelawat tinggal lebih masa di negara ini.

“Sama ada disebabkan eksploitasi sindiket, kelemahan pemantauan imigresen, kekangan penguatkuasaan, atau tarikan ekonomi tertentu? Dan apakah langkah segera yang diambil untuk menangani punca-punca tersebut?” ujar beliau.

Selanjutnya, beliau turut menyentuh berkenaan Pindaan Seksyen 22 Akta 155 mewajibkan pengendali pengangkutan mengemukakan Passenger Name Record (PNR) dan Advance Passenger Information (API) sebelum ketibaan yang membolehkan penilaian risiko awal terhadap setiap penumpang.

“Pindaan Seksyen 22A pula mewajibkan setiap individu mengemukakan personal identifiers dan data biometrik, serta memberi kuasa kepada imigresen untuk menolak kemasukan jika maklumat tersebut tidak dipatuhi.

“Namun, isu keselamatan data biometrik perlu diberikan perhatian serius agar tidak berlaku kebocoran atau penyalahgunaan,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO