Program Pendaftaran Pelarian: KDN Giat Laksana Empat Tindakan

KUALA LUMPUR, 2 Dis – Kementerian Dalam Negeri (KDN) komited melaksanakan program pendaftaran pelarian dengan empat tindakan di peringkat pra-pelaksanaan, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, kerajaan melalui Arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 23 telah memperuntukkan mekanisme pengurusan pelarian untuk dilaksanakan mengikut undang-undang Malaysia.

“Melalui arahan ini, pengurusan pelarian di Malaysia dilaksanakan melalui Dokumen Pendaftaran Pelarian (DPP) yang merupakan dokumen tunggal untuk mengesahkan status individu sebagai pelarian di Malaysia.

“Pelaksanaan DPP membolehkan kerajaan memperolehi maklumat individu pelarian, dengan maklumat mereka didaftarkan di dalam sistem biometrik kerajaan untuk tujuan pemantauan dan penguatkuasaan.

“Arahan ini turut menetapkan semua pelarian yang berada dalam negara dengan atau tanpa dokumen yang dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), perlu melalui proses Penentuan Status Pelarian yang dijalankan oleh Kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi Soal Jawab Lisan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Ujarnya, tindakan yang berada di pra-pelaksanaan itu turut merangkumi memuktamadkan prosedur operasi standard (SOP) proses pendaftaran dan penentuan status pelarian.

“Untuk makluman, KDN komited melaksanakan program pendaftaran pelarian dan pemohon suaka bermula 1 Januari 2026. Pada ketika ini, KDN sedang giat melaksanakan empat tindakan di peringkat pra pelaksanaan.

“Antaranya menguji sistem pendaftaran pelarian dan pemohon suaka. Sistem ini dibangunkan bersama Mimos Bhd. Kedua, pembangunan Pusat Pengasingan Pelarian dan Pemohon Suaka (PPKPPS) di Bidor, Perak.

“Selain itu, memuktamadkan SOP proses pendaftaran dan penentuan status pelarian yang setaraf dengan amalan antarabangsa dan memuktamadkan pindaan subperaturan 14, peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya lagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, pelarian yang telah ditentusah status pelarian mereka akan diberikan kad DPP yang membenarkan mereka tinggal sementara di Semenanjung Malaysia secara sah.

“Selepas semua tindakan selesai, pelarian yang telah ditentusah status pelarian mereka akan dikeluarkan kad DPP yang membenarkan mereka tinggal sementara di Semenanjung Malaysia secara sah dan memperolehi akses kepada sokongan sosial seperti akses kepada pekerjaan, pendidikan dan kesihatan.

“Untuk itu, Arahan MKN No. 23 (Semakan 2023) telah memperincikan tugas dan peranan sebanyak 20 Kementerian dan Agensi Kerajaan termasuk untuk memberikan akses sokongan sosial kepada pemegang DPP.

“Sebagai contoh, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat antara lain berperanan melindungi golongan rentan iaitu wanita, warga emas, orang kurang upaya (OKU), gelandangan dan kanak-kanak dari eksploitasi, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi untuk akses pendidikan asas hingga pendidikan tinggi, Kementerian Kesihatan untuk akses kepada perkhidmatan kesihatan asas dan Kementerian Sumber Manusia untuk kebenaran bekerja,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO